Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saksi dah mati, tak boleh nak cerita' - Peguam Najib

Pihak pendakwaan tidak mempunyai kes terhadap Najib Razak kerana mereka bergantung kepada keterangan seorang saksi yang sudah meninggal dunia dan seorang lagi orang dalam buruan, hujah peguambela utama kepada bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tentang keterangan saksi utama pendakwaan mengenai ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa bertindak bagi pihak Najib.

Peguam itu hari ini memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa keterangan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazarudin telah didedahkan oleh bekas setiausaha sulit kanan tertuduh, Allahharham Azlin Alias.

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2015, tiga tahun sebelum Najib didakwa di mahkamah jenayah atas penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes yang melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.27 bilion.

Amhari sebelum ini memberi keterangan Azlin pernah bertemu Low secara rahsia berkaitan urusan 1MDB dan hanya Najib dan ahli perniagaan dalam buruan itu yang "mempunyai gambaran sepenuhnya mengenai gerakan yang mereka rancang."

"Orang mati tidak boleh bercerita. (Keterangan saksi mengenai) Azlin patut diketepikan," hujah Shafee di hadapan Sequerah.

'Abaikan keterangan saksi mati'

Peguam bela itu menegaskan keterangan saksi yang sudah meninggal dunia boleh diabaikan kerana hakim perbicaraan tidak dapat melihat tingkah laku mereka di mahkamah.

"Jho Low tidak ada dan begitu juga Azlin," kata Shafee.

Peguam itu menambah aspek saksi mati itu turut dilihat oleh saksi lain seperti peguam kanan 1MDB Jasmine Loo dan bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Mohd Hazem Abd Rahman.

Beberapa saksi pendakwaan lain juga mendakwa telah berurusan dengan Low, yang didakwa bergantung kepada kuasa Najib untuk melaksanakan pemindahan wang 1MDB.

Loo pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan dalaman Low.

25 tuduhan terhadap Najib

"Pihak pendakwaan tidak pernah mengemukakan keterangan melalui saksi mereka mengapa Low tidak hadir (di mahkamah), sekiranya mereka (pihak berkuasa ada) membuat sebarang usaha untuk memastikan kehadirannya dan jika mereka cuba mengekstradisi Low dari mana-mana negara," kata Shafee.

Peguam itu berkata kes pendakwaan semakin lemah dengan pengakuan terdahulu Amhari semasa perbicaraan bahawa saksi itu telah menerima pinjaman AS$200,000 daripada Low.

Apabila perbicaraan bersambung semula petang ini, peguambela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah keterangan Amhari tidak boleh dipercayai kerana membuat dakwaan tanpa sokongan bahawa tindakan Low mengarahkan saksi dan Azlin membuka akaun bank luar negara dengan 'restu Najib'.

Wan Azwan menegaskan keterangan Amhari tidak disokong oleh pegawai penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin apabila pasukan pembelaan mendakwa pegawai tersebut gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Peguam Najib berhujah mahkamah jenayah boleh membuat kesimpulan buruk bahawa Amhari mereka-reka cerita tersebut untuk memburukkan Azlin dan supaya dia (Amhari) tidak kelihatan sebagai satu-satunya pegawai yang korup.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan merangkumi penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, lelaki berusia 71 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018 dan perbicaraan kes jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pendakwaan menutup kesnya pada 30 Mei tahun ini, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa.

Prosiding kini berada di peringkat hujahan lisan, yang melibatkan pasukan peguam meringkaskan sama ada keterangan lisan dan dokumen yang dikemukakan membabitkan atau bertujuan membebaskan Najib.

Lima puluh saksi telah memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, termasuk Loo, Amhari, Shahrol, Hazem, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh, dan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Pendakwaan mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara itu antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib menegaskan bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku semata-mata didalangi oleh Low dan ahli pengurusan syarikat tersebut.

Bekas menteri kewangan juga berhujah sebelum ini bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi berjanji untuk memberi sumbangan kewangan kepada tertuduh bagi tujuan politik.

Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan.

[Baca berita asal]