Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadikan arwah mak bahan kempen PN - anak bekas Adun

PRK MAHKOTA | Anak kepada bekas penyandang Adun Mahkota Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain mengecam ahli politik veteran Annuar Musa kerana didakwa tidak menghormati arwah ibunya.

Wan Hibatullah Abu Bakar berkata pihak keluarganya tidak dimaklumkan mengenai rancangan pengerusi Muafakat Nasional itu mengadakan majlis “tahlil” untuk arwah ibunya, semasa kempen calon PN, Haizan Jaafar.

"Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen.

"Kami tetap bersama Barisan Nasional dan kami sekeluarga menghormati pimpinan YAB menteri besar Johor.

“Saya akan meneruskan perjuangan Ummie (ibu) bersama Umno dan Barisan Nasional.

"Sedihlah macam ni. Tolonglah jaga sensitiviti kami sekeluarga," kata Wan Hibatullah pada hantaran di Facebook.

Pada catatannya, Wan Hibatullah turut berkongsi tangkapan skrin hantaran Annuar di Facebook yang tertera dakwaan PN akan mengadakan majlis tahlil untuk Sharifah pada minggu depan dengan kerjasama keluarganya.