PN jawab isu surat layang, dakwa DAP cuba ugut Umno
PRN MAHKOTA | Seorang pemimpin Bersatu mengecam DAP kerana mendakwa PN mengedar surat layang yang menggesa pengundi Cina menolak calon Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah.
Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard turut menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang semalam mendakwa surat-surat berkenaan dimasukkan dalam peti surat di rumah pengundi.
"Sekarang kamu nak tarik kami dalam 'game'. Kita tak berminat. Kita sangat sibuk dengan isu rakyat.
"Hari ini kita secara rasmi mengecam dan kita minta bahawa ahli parlimen DAP Kluang harus dan wajib minta maaf," kata ahli biro penerangan Bersatu itu dalam sidang media di Kluang, hari ini.
Semalam, Wong berkata surat-surat tersebut ditulis dalam bahasa Cina bertajuk “Seruan kepada pengundi dalam pilihan raya kecil Mahkota: Kami harap untuk melihat layanan adil untuk semua rakyat di Johor".
Surat tersebut dikeluarkan atas nama "Rakyat Kluang, Johor, dan penyokong Pakatan Harapan, Lin Wei Jie".
Mengulas lanjut, Badrul menuduh DAP cuba memainkan isu perkauman pada pilihan raya kecil itu.
"Minta maaf. Itu mungkin permainan kamu dan kamu sangat biasa. Kamu biasa dengan fitnah, biasa dengan surat layang.
"Itu permainan kamu. Kita tak ada masa dengan itu. Kita berdepan dengan masalah rakyat," katanya.
Sementara itu, pengarah pilihan raya Pemuda PN Johor, Mohd Idzharruddin Nasiruddin turut menolak dakwaan itu dan mendakwa DAP merupakan dalang sebenar surat layang berkenaan dalam usahanya untuk mengugut Umno.
Dia merujuk pendedahan Wong mengenai surat layang itu dalam sidang media semalam seperti yang dilaporkan Malaysiakini.
Kandungan surat
Kandungan surat itu antara lain mendakwa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh sering membangkitkan isu sensitif untuk mencetuskan sentimen perkauman, termasuk serangan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal.
Bagaimanapun ketika ditanya apakah isu mengenai Akmal yang dibangkitkan dalam surat itu akan menjejaskan kempen PH, Wong meminta pihak media merujuk kepada Umno sendiri.
Idzharuddin juga memetik laporan Berita Harian yang melaporkan kenyataan Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching bahawa sesetengah pengundi Cina "tidak selesa" dengan Umno.
"Semua insiden dan kenyataan pemimpin DAP ini nampaknya menunjukkan DAP cuba mengancam dan menekan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan di Johor," dakwanya.
Dia juga mempersoalkan sama ada BN akan tunduk kepada ugutan dan tekanan DAP, atau kekal di bawah pentadbiran Umno yang diterajui Menteri Besar, Johor Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Azmin Ali mempersoalkan apakah Onn yang juga Pengerusi BN Johor akan menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu jika gabungan itu menang pada PRK Mahkota.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai