'Anwar jangan cepat melenting, dulu anda pun desak PM letak jawatan'
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak “melenting” apabila berdepan gesaan letak jawatan.
Tuan Ibrahim juga mengingatkan pengerusi PH itu tentang ketika dia menyertai protes bagi mendesak perdana menteri sebelum ini untuk letak jawatan.
“Pemimpin ni kena pressure ni biasa dan dia tak boleh cepat melenting. Dia kena cool… Awak PM, bukan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).
“Bila perdana menteri dia kena cool. Tekanan, desakan suruh letak jawatan ni biasalah,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.
“Dia pun dulu suruh undur, setiap kali demonstrasi undur, undur, undur. Dahlah undur, suruh letak jawatan. Itu biasa. Seorang pemimpin politik yang senior. Jangan terlalu emosional,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim mengulas cabaran Anwar kepada pembangkang untuk membawa usul tidak percaya ke atasnya pada sidang Parlimen akan datang.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kemudian mengemukakan cabaran balas, iaitu agar Anwar membebaskan semua ahli Parlimen kerajaan daripada sebarang ikatan perjanjian sebelum bercakap tentang usul seumpama itu.
Tuan Ibrahim menyifatkan cabaran Anwar itu bukan menunjukkan keberanian, sebaliknya ketakutan.
“Saya tengok dia takut, ucapan dia tu bukan menggambarkan dia berani, ia menggambarkan keresahan dia, kebimbangan dia, ketakutan dia, sampai dia cabar buat usul undi tidak percaya,” katanya lagi.
Katanya lagi, ada sesuatu yang mencurigakan apabila Anwar dilihat “ketakutan” walaupun memiliki majoriti yang besar di Dewan Rakyat.
“Tetapi kenapa dia takut? Ia ada seperti ada sesuatu. Saya rasa sebab kerana jumlah kerusi yang dia ada terpaksa bergantung kepada parti-parti lain. Itu puncanya.
“Kalau kita jadi Perdana Menteri, parti kita kuat terkuat, kita rasa lain,” katanya lagi, merujuk PKR yang memegang 31 kerusi di Parlimen.
‘Tak rancang pun kerajaan boleh jatuh’
Mengimbas kembali Langkah Sheraton pada 2022, Tuan Ibrahim berkata mana-mana kerajaan boleh tumbang pada bila-bila masa walaupun tanpa ada “perancangan” untuk menjatuhkannya.
Menggelar kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu sebagai “kerajaan DAP”, Tuan Ibrahim membayangkan PAS tiada sebarang peranan dalam usaha menjatuhkannya.
Katanya, PAS setakat ini tidak membincangkan soal membawa usul undi tak percaya kepada Anwar, dan menambah: “Kerajaan DAP 22 bulan dahulu, mana ada planning apa-apa.”
“Tak ada rancang pun. Kami pun tak tahu. Tiba-tiba Tun Mahathir letak jawatan, kabinet pun tumbang, tukar kerajaan,” katanya lagi.
Namun, kenyataan Tuan Ibrahim itu seperti bertentangan dengan apa yang pernah disebut Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Pada Oktober 2022, Abdul Hadi berkata dirinya merupakan individu yang memulakan langkah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Menurutnya, ia sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen PBB mengenai antipenindasan kaum (Icerd).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai