Skip to main
Logo Malaysiakini

GISBH: PAS minta banteras hingga ke akar umbi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PAS menggesa pihak berkuasa membanteras penyelewangan kumpulan GISB Holding (GISBH) hingga ke akar umbi supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyoal pihak berkuasa agama yang gagal mengesan kegiatan kumpulan terbabit sejak dari awal lagi.

"Ini bukanlah kali pertama. Kita telah menyaksikan episod yang melibatkan Darul Arqam beberapa puluh tahun yang lalu, diikuti dengan pertubuhan Rufaqa’ yang membawa modus operandi yang sama.

"Kini, ia berulang lagi dengan GIHB. Cerita mengenai Yaqazah dan Pemuda Bani Tamim juga muncul, diakhiri dengan persediaan menunggu kedatangan Imam Mahdi.

"...Mengapa agensi pihak berkuasa agama terlepas daripada memantau gerakan ini begitu lama? Mengapa mereka berjaya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh, termasuk perdana menteri?

"Secara logiknya, perdana menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu-tetamu yang berjumpa dengannya.

"Inilah tugas pegawai yang berada di sekeliling pemimpin-pemimpin, termasuk agensi agama yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat sejak lama," katanya pada kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli khuatir jika menteri dan perdana menteri sendiri menerima kunjungan kumpulan ini dengan penuh hormat dibimbangi ada sesuatu yang tidak kena dalam proses pemantauan oleh pihak berkuasa agama.

"Ini perlu diteliti dan disiasat tanpa mengambil kira pandangan politik partisan," tambahnya.

Sebelum ini pihak polis telah menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa eksploitasi kumpulan tersebut di beberapa pusat jagaan.

Pihak berkuasa juga turut menyerbu premis berkaitan dengan kumpulan itu serta merampas buku berkaitan ajaran Abuya Al-Arqam.

Pada 19 Sep, polis menahan 19 pemimpin tertinggi kumpulan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.

Selain Nasiruddin, mereka yang ditahan reman termasuk anak dan isterinya serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata PAS tegas dengan pendirian seseorang itu tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah.

Malah, PAS juga mahu siasatan dilakukan secara telus jangan sampai kepada penganiayaan.

Bagaimanapun katanya penyelewangan akidah kumpulan ini harus dibanters di peringkat akar umbi lagi.

"Dari sudut penyelewengan akidah, kali ini kita perlu sampai ke akar umbi.

“Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali keempat, kelima, atau keenam, sehingga entah berapa kali lagi.

"Proses pemulihan ini hendaklah dilaksanakan sehingga ke peringkat menyediakan peluang hidup kedua untuk generasi baru yang sudah dibentuk sejak lahir oleh gerakan ini.

"Jika tidak, kita akan berdepan dengan drama yang sama beberapa tahun lagi dengan modus operandi yang sama," katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa pihak berkuasa supaya tidak menggunakan pendekatan berlebih-berlebihan dalam menghukum GISBH terutama kepada ahli yang tidak bersalah sambil menegaskan GISBH masih mempunyai sifat positif, seperti rangkaian perniagaannya yang luas.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim turut membangkitkan isu serupa berkata walaupun kumpulan itu mungkin tersilap dalam tafsiran Islam namun tidak adil memusnahkan punca rezeki mereka.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Razarudin Hussain menegaskan siasatan terhadap GISBH dijalankan mengikut prosedur undang-undang dan menafikan pihak berkuasa bertindak keterlaluan.