MCA, DAP bersaing dalam diam di Mahkota
Ketika kempen pilihan raya kecil Mahkota kini di peringkat akhir, MCA dan DAP bekerja keras untuk mendapatkan sokongan daripada 35 peratus pengundi Cina di kawasan itu bagi pihak BN.
Kedua-dua parti itu aktif mengaturkan lawatan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, ke daerah-daerah mengundi yang majoritinya penduduk Cina untuk bertemu dengan mereka.
Namun, walaupun bekerja dalam pasukan yang sama, kedua-dua parti itu secara diam-diam bersaing antara satu sama lain.
MCA dan DAP jarang menghadiri acara bersama dan perpecahan ini jelas ketara sejak permulaan kempen.
Selepas penamaan calon pada Ahad lalu, pasukan kempen DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, membawa Syed Hussein untuk bertemu pengundi di pasar pagi Taman Sri Menanti, yang terletak di daerah mengundi Taman Liang Seng, dengan populasi kaum Cina kira-kira 57 peratus.
Wong mendapat 57.4 peratus undi di kawasan ini pada PRU ke-15, manakala MCA hanya mendapat 27 peratus undi.
MCA kemudian menyertai kempen di pasar berkenaan, tetapi dilaporkan hanya setelah mendengar berita mengenainya.
Mesej tersirat
Tidak lama kemudian, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kluang, Yap Zhi Peng, menyindir mesej DAP secara tersirat.
Dalam kenyataannya, Yap mendakwa bahawa ketika wakil "Kerajaan Perpaduan" menemani Syed Hussien berkempen, mereka menggesa masyarakat Cina menyokong BN dan bukan DAP, menyebabkan pengundi Cina keliru.
Dalam responnya, Yap berkata pengundi di Mahkota tidak perlu keliru dan hanya perlu ingat untuk mengundi BN.
Walaupun Yap tidak menyatakan secara terang-terangan, "Kerajaan Perpaduan" yang disebutnya itu jelas merujuk kepada PH dan DAP.
Perbezaan ketara
Pada hari kelima kempen, petugas MCA dan DAP muncul di pasar malam terbesar Kluang di Kampung Payan untuk menemani Syed Hussein berkempen.
Namun, sebelum calon BN tiba, kedua-dua parti itu jelas tidak sehaluan apabila pasukan MCA yang berpakaian biru dan pasukan DAP yang berpakaian putih berdiri di dua sisi berlawanan di pintu masuk pasar malam itu, serta hampir tidak bertegur sapa antara satu sama lain.
Mereka hanya tampil bersama apabila Syed Hussein tiba dan berjalan bersama di pasar malam berkenaan.
Namun, ada sekumpulan kecil petugas MCA yang diketuai oleh Naib Presidennya, Wee Jeck Seng berkempen melalui laluan berbeza di pasar malam itu.
Jeck Seng juga tidak muncul bersama Syed Hussein sepanjang kempen itu.
Di sebalik tabir, kedua-dua parti itu juga bersaing dalam kempen mereka.
Difahamkan bahawa MCA dan DAP akan mencadangkan aktiviti kempen pada hari berikutnya kepada Umno.
Bagi DAP, jika mereka dapat menyelaraskan dengan Umno, mereka akan berkempen bersama, dan jika tidak, mereka akan bergerak sendiri.
Namun, pengalaman MCA dilaporkan tidak semudah itu pada pertengahan kempen.
Ini kerana Umno dilaporkan lewat mengesahkan jadual mereka sehingga saat-saat akhir, dan hal ini mengganggu perancangan MCA.
Pun begitu, kerjasama antara rakan BN dilihat bertambah baik di pertengahan kempen, dengan kurang isu komunikasi berbanding sebelumnya. Ini termasuk MCA mengatur wawancara Syed Hussein dengan media berbahasa Cina bagi membantu masyarakat Cina lebih mengenali calon itu.
DAP ungguli MCA
Sejak 2008, DAP mengungguli MCA sebagai parti pilihan utama pengundi Cina. Apabila PH dan BN bergabung selepas PRU ke-15, Umno dilihat lebih cenderung bekerjasama dengan DAP untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu berbanding MCA.
Contoh jelas ini dapat dilihat apabila Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi - dari Umno - merasmikan bilik gerakan kempen DAP bagi "Kerajaan Perpaduan" pada hari penamaan calon, manakala bilik gerakan MCA dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Chong Yew Chuan.
Kedua-dua bilik gerakan ini terletak di jalan yang sama di Jalan Dato Teoh Siew Khor.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, dalam satu temu bual selepas berkempen pada 16 September, menegaskan bahawa pilihan raya kecil ini dipimpin oleh BN dalam kerangka BN dan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kerjasama antara MCA dan DAP.
"Hari ini, kita tidak boleh hanya melihat kerjasama antara satu parti dengan parti lain. Pilihan raya ini berada dalam kerangka BN dan dipimpin oleh kami. Sudah tentu, sebagai salah satu daripada tiga parti komponen utama, kami mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan BN," katanya.
Mengenai parti-parti lain, dia menyatakan bahawa jika mereka ingin mempertahankan slogan menyokong Kerajaan Perpaduan, mereka perlu bekerja, dan tiada alasan untuk menolak mereka.
Bersatu untuk satu matlamat
Wong Shu Qi ketika ditanya mengenai kelancaran kerjasama antara kedua-dua parti itu, enggan mengulas secara langsung dan meminta agar "media dapat memerhati sendiri."
Namun, satu detik pertemuan antara MCA dan DAP berlaku pada 17 September apabila kedua-dua parti bersama-sama hadir di Persatuan Meningkatkan Akhlak Che Luan Khor di Kluang untuk meraikan Festival Pertengahan Musim Luruh dan berkempen untuk Syed Hussein.
Kebetulan, Wong dan Wee Ka Siong memakai pakaian yang serasi dalam tona warna merah jambu.
Ini menyebabkan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, berseloroh dengan menyatakan apakah mereka telah merancang untuk memakai "pakaian sedondon."
Dalam ucapannya, Ling menegaskan bahawa jentera MCA dan DAP bersatu dengan satu matlamat - untuk BN mempertahankan Mahkota.
“Tidak kira sama ada pasukan Wong atau Ka Siong, semua yang hadir di dewan malam ini… dengan hanya satu matlamat, iaitu memberikan (peluang kepada) pasukan yang bekerjasama pada 28 September ini di Johor,” katanya.
Sementara itu, pada acara yang sama, Onn Hafiz juga mengusik Wong dan exco Johor, Lee Ting Han dari MCA, yang kedua-duanya masih bujang dengan mengatakan mereka boleh “disatukan” selepas pilihan raya kecil ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai