Skip to main
Logo Malaysiakini

RCI kes GISBH: Tak tahu lagi, kata menteri

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

“Tak tahu lagi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan penderaan, pengantunan dan eksploitasi kanak-kanak oleh Global Ikhwan Service and Bussines Holding (GISBH).

“Isu itu (RCI) belum maklum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya jika dia menyokong RCI ditubuhkan dan akan membawa cadangan itu ke Kabinet.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kefahaman Malaysia Madani Siri 3/2024 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Na’im bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut berkenaan apa yang dimaksudkannya dengan “tak tahu lagi” berkenaan cadangan itu.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai Mohd Na’im untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki mencadangkan RCI itu ditubuhkan segera.

Farah turut dilaporkan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar membentuk jawatankuasa khas bagi membangunkan strategi menyeluruh untuk menghindarkan penderaan, pengantunan dan eksploitasi berlaku di semua institusi berkaitan kanak-kanak, termasuk rumah amal.

Cadangan Suhakam tersebut mendapat sokongan penuh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Dalam ciapan di X, Azalina menegaskan undang-undang yang terbaik untuk melindungi kanak-kanak boleh diwujudkan.

Sejak polis menjalankan Op Global mulai September lepas, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan manakala tujuh dihadapkan ke mahkamah atas 29 pertuduhan.