Mangsa banjir Kedah menurun kepada 5,592 orang
Jumlah mangsa banjir di Kedah terus menurun kepada 5,592 orang membabitkan 1,788 keluarga yang masih ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul lapan malam ini, berbanding 6,439 mangsa membabitkan 2,062 keluarga petang tadi.
Mengikut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di daerah Kota Setar adalah seramai 3,745 orang daripada 1,217 keluarga yang masih ditempatkan di 16 PPS .
Tiga PPS di daerah yang telah ditutup pada pukul tiga petang tadi adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan SK Taman Aman.
Daerah Pendang pula mencatatkan seramai 1,607 orang daripada 491 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Kubang Pasu seramai 181 orang daripada 56 keluarga di dua PPS dan Pokok Sena seramai 59 orang daripada 24 keluarga di satu PPS.
Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bacaan paras air di Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 22.03 meter setakat 7 malam tadi.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai