Skip to main
Logo Malaysiakini

AKSB pergiat usaha tuntut hutang bil air bagi 2022, 2023

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang mempergiat usaha menuntut hutang daripada pengguna yang masih gagal menjelaskan bil air yang telah dipotong bagi tahun 2022 dan 2023.

AKSB dalam kenyataan memaklumkan bagi tahun 2022, sebanyak 3,316 akaun bil air yang telah dipotong dengan hutang sebanyak RM2.379 juta direkodkan manakala bagi 2023, sejumlah 3,954 akaun bil air bernilai RM2.196 juta masih belum dijelaskan.

Mengikut kenyataan itu, gerak kerja Unit Penguatkuasaan AKSB akan membuat pemotongan bil air rumah pengguna atau premis yang aktif terlebih dahulu (bil tertunggak melebihi tiga bulan) dalam tempoh 45 hari bil akhir dikeluarkan.

"Jika pengguna masih gagal menjelaskan tunggakan, penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan dibuat menjadikan akaun itu tidak aktif dan berhutang dengan AKSB.

"AKSB juga telah melantik empat ejen kutipan hutang yang berlesen bagi membuat tindakan susulan untuk mendapatkan semula jumlah hutang bil itu,” kata AKSB.

Kenyataan itu memaklumkan jika ada pengguna yang masih gagal untuk menjelaskan hutang bagi akaun dipotong itu, senarai nama dan nombor akaun bil mereka akan diserahkan kepada Peguam AKSB bagi tindakan undang-undang.

AKSB memberikan tempoh sehingga 15 Okt ini bagi pengguna menjelaskan hutang bil air mereka yang telah dipotong sebelum tindakan undang-undang diambil. 

-Bernama