Banjir Kedah: MB jamin semua ketua isi rumah layak akan terima bantuan
Kerajaan Kedah memberi jaminan bahawa semua ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan menerima sumbangan RM1,000 seperti yang telah dijanjikan.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebanyak 3,517 KIR akan menerima bayaran sumbangan tersebut, melibatkan peruntukan lebih RM3.5 juta.
"Sebahagian besar bayaran telah disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan diselesaikan oleh pegawai daerah di PPS.
"Jika mereka (mangsa banjir) sudah pulang dari PPS, kami akan mencarikan mereka kerana semua data dan maklumat penghuni PPS ada di PKOB daerah masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Alor Setar hari ini.
Dia berkata selain itu, sumbangan lain juga akan disalurkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), yang telah bersetuju untuk memperbaiki rumah yang terjejas dengan kos di bawah RM15,000.
"Menurut rekod setakat semalam, lebih 700 rumah di seluruh Kedah telah rosak," katanya.
Menurut Muhammad Sanusi lagi, bagi mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak berpindah ke PPS atau rumah yang rosak akibat ribut, mereka masih boleh memohon bantuan untuk memperbaiki kediaman. Namun, mereka perlu membuat laporan polis dan menyertakan bukti masing-masing terlebih dahulu.
Sementara itu, dia berkata keseluruhan kawasan pertanian yang terjejas akibat banjir di Kedah adalah seluas 2,986 hektar, melibatkan 999 petani.
"Anggaran kerugian keseluruhan kawasan pertanian, termasuk padi, adalah lebih RM10 juta. Anggaran kerugian akibat kerosakan padi sahaja adalah RM8.2 juta, manakala selebihnya melibatkan agro makanan lain seperti cili dan cendawan, serta infrastruktur ladang dan jalan-jalan," katanya.
Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 2,942 orang daripada 939 keluarga setakat empat petang ini, berbanding 5,454 orang daripada 1,745 keluarga pada pagi tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa dari empat daerah terlibat ditempatkan di 20 PPS.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai