Gerakan: Kenyataan 'skirt mini' Tiong tak ada kelas, bukti PH ekstrem
Presiden Gerakan Dominic Lau membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mengenai seluar pendek dan skirt mini.
Lau mendakwa kenyataan Tiong itu tidak mempunyai kelas, dan ia hanyalah contoh terbaru yang menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan adalah pihak yang menggalakkan ekstremisme.
“Baru-baru ini, Tiong berkata… Dia bercakap tentang mengelakkan seluar pendek dan skirt mini hanya digantung di rumah (bukannya dipakai). Bagi saya, kenyataan ini menggambarkan tahap seorang menteri Malaysia, tanpa sebarang perbincangan mengenai cara memajukan ekonomi di Mahkota,” katanya pada sidang media di pusat operasi pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Bandar Tengah, Mahkota di Johor hari ini.
Dia juga berkata cadangan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di agensi kerajaan lain, dan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi kedai makan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, sebagai contoh ekstremisme yang dipromosikan oleh kerajaan.
Dia turut membangkitkan insiden pada Mac lalu ketika Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa agar KK Mart diboikot, menegaskan Umno kini sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH).
Lau berhujah bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempamerkan tingkah laku ekstremis.
“Saya nak tanya, siapa sebenarnya yang ekstrem? Sebab itu saya percaya pengundi Mahkota mempunyai pertimbangan yang jelas, dan mereka tahu siapa ekstremis sebenar.
“Umno adalah sebahagian daripada kerajaan PH, jadi siapa yang melakukan tindakan ekstremis? Bukan PN, tapi PH, kerajaan Anwar yang melakukan perkara ini,” katanya.
Dalam ucapannya malam tadi, Tiong menggesa masyarakat Cina Mahkota supaya mengundi dengan bijak semasa hari pengundian Sabtu ini.
Tiong berkata dia berseloroh dengan pengundi Cina di Mahkota agar keluar mengundi untuk membolehkan mereka memakai seluar pendek dan skirt mini.
Kata Liong, membuat pilihan yang salah akan memberi isyarat sokongan kepada PAS dan boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk memakai seluar pendek dan berskirt mini.
Sementara itu, menjawab seruan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi kepada pengundi supaya tidak menghukum BN di peti undi, Pengerusi Gerakan Johor Teo Kok Chee membalas bahawa Onn berhak dihukum jika dia melakukan kesalahan.
Teo percaya bahawa Onn menyedari kesilapannya, itulah sebabnya dia membuat rayuan sedemikian dengan mengharapkan kemaafan orang ramai.
“Menteri besar juga menyedari bahawa mereka telah melakukan banyak perkara yang salah, jadi dia berkata perkara ini dengan harapan orang ramai akan memaafkannya. Tetapi jika anda melakukan kesilapan, anda mesti menghadapi akibatnya,” katanya.
Teo menyatakan bahawa masyarakat Cina harus menggunakan undi mereka untuk memberi pengajaran kepada Umno bagi menghalang pelaksanaan dasar yang lebih ekstrem dan konservatif.
“Dalam pilihan raya kecil ini, orang Cina harus keluar mengundi. Undilah kami (PN) untuk memberi pengajaran kepada kerajaan PH," katanya.
Sebelum ini, Onn merayu kepada masyarakat Cina agar tidak menghukumnya dengan tidak mengundi BN kerana "isu di peringkat persekutuan", sebagai tindak balas kepada laporan bahawa pengundi Cina tidak berminat untuk membuang undi pada hari Sabtu ini.
Isu persekutuan yang dimaksudkan menteri besar itu dipercayai merujuk pertengkaran berkaitan pensijilan halal antara Akmal dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Kira-kira 35 peratus pengundi Mahkota adalah Cina, 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan dalam kerajaan bahawa pengundi Cina mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi sebagai protes.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai