Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan risau, PN takkan perintah Johor - Gerakan pikat undi Cina

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PRK MAHKOTA | Walaupun kem kerajaan perpaduan bimbang sokongan pengundi Cina yang membentuk 30 peratus pemilih di DUN ini namun Gerakan berharap rasa tidak puas hati masyarakat itu akan membantu PN mencapai kemenangan.

Sokongan komuniti Cina juga jika dapat menjadi kenyataan akan membantu “menggerakkan” Gerakan, yang pengaruh politiknya tidak banyak berubah sejak kekalahan mereka di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008.

Presiden Gerakan Dominic Lau menekankan kemenangan PN, yang dikuasai parti Islam PAS, tidak akan menyebabkan perubahan kerajaan di negeri yang ditadbir BN dan PH dengan penguasaan 50 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dia berkata kemenangan satu lagi kerusi pembangkang akan membolehkan semak dan imbang yang lebih baik di DUN Johor.

“Walaupun kita menang dalam PRK ini, kita tak akan menjadi kerajaan. Oleh itu tak payah risaulah, tak payah khuatir.

“Dalam sesebuah negara yang demokrasi tu kita mesti ada pembangkang untuk memantau prestasi kerajaan. Tak kisahlah negeri atau Persekutuan,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Oleh itu, Lau menggesa pengundi Cina untuk keluar beramai-ramai pada 28 September mengundi calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang berdepan satu lawan satu dengan calon Umno, Syed Hussein Syed Abdullah.

Meski mengakui sukar bagi PN untuk meraih undi Cina, namun presiden Gerakan itu mendakwa gabungan itu menunaikan telah janji-janji mereka.

Lau juga mendakwa pengundi Cina keliru kerana semasa pilihan raya sebelum ini, DAP meminta mereka supaya tidak mengundi BN.

"Oleh itu kekeliruan yang berlaku ini sudah dibangkitkan oleh masyarakat Cina terutamanya di DUN Mahkota itu.

"Mereka pun kata mana prinsip yang mereka pegang dulu,” dakwanya.

Lau berkata walaupun PH bergabung dengan Umno, hala tuju mereka tidak selari kerana wujud pergeseran yang ketara.

DAP diberi tugas untuk merayu undi Cina bagi calon Pemuda Umno tetapi ini terbukti sebagai satu tugas yang sukar.

Terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti tersebut mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan Umno, terutamanya ketua Pemuda mereka, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata pengundi tidak sepatutnya menghukum pemimpin yang bekerja keras hanya kerana tindakan satu atau dua individu.

Begitu juga, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi merayu kepada komuniti Cina agar tidak “menghukum” dirinya berkenaan isu di peringkat persekutuan.