Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Indoktrinasi dan ajaran sesat

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

ULASAN | Indoktrinasi suatu usaha berterusan dan berulang bertujuan menanamkan idea, ideologi dan cara fikir sehingga menghasilkan kondisi mental yang teguh. Dalam indoktrinasi, tujuannya untuk mempengaruhi. 

Indoktrinasi usaha sistematik dalam menerapkan propaganda yang sudah dirancang. Kehangatan dan kekalutan terkait ajaran sesat yang sedang berleluasa kini mempunyai hubungan yang rapat dengan usaha indoktrinasi yang dilaksanakan dalam suatu jangka masa yang tidak disedari umum. 

Indoktrinasi tersebut akhirnya mencetuskan fenomena ajaran sesat yang memiliki puluhan ribu pengikut setia dan taat terhadap organisasi, meskipun kadangkala berhadapan risiko keselamatan harta benda dan nyawa. 

Selain Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), banyak lagi kumpulan yang meragukan sedang bergerak aktif di tengah masyarakat.

Pengikutnya sudah diindoktrinasikan untuk taat dan setia terhadap organisasi dan pemimpin sehingga merasakan segala tindakan dan aktiviti mereka demi maslahah manusia dan atas tujuan tersebut tidak salah untuk berkorban diri, hatta, mengorbankan orang lain.

Pantau ahli keluarga kita dan kawan-kawan rapat kita supaya mereka tidak terjebak sama. Berhati-hatilah jika terdapat organisasi atau gerakan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Nama gerakan atau organisasi - Ditempel dengan elemen Islam atau setidak-tidaknya, elemen bangsa. 

Namanya 'catchy' dan nak lebih mantap ada perkataan bunyi Arab supaya lebih meyakinkan. Contoh sebelum ini: Al-Ma’unah, Al-Arqam, Rufaqa, Millah Ibrahim.

2. Ada pusat aktiviti yang terpisah dan eksklusif - Ia dihadkan kepada ahli sahaja walaupun kelihatan seperti terbuka. 

Misalnya, resort atau perkebunan. Terdapat juga premis perniagaan yang dijadikan pusat aktiviti dengan menyembunyikan tujuan sebenar premis tersebut. 

Ia berselindung di sebalik kegiatan perniagaan.

3. Pengkultusan peribadi pemimpin - Pemimpin utama ini mesti tidak sama dengan pemimpin orang lain. 

Pemimpin dikatakan mendapat petunjuk daripada Allah; atau mendapat ilham atau ilmu rahsia daripada sesuatu entiti yang didakwa berkait dengan tuhan atau nabi atau wali. 

Keistimewaannya itulah yang menjadi penarik dan pengikat kesetiaan para ahlinya. Pemimpin itu penyelamat. Pemimpin dikultuskan dan dikuduskan.

4. Salasilah – Pengkultusan disokong oleh ketertinggian salasilah. 

Pemimpin didakwa mempunyai hubungan langsung dengan keturunan Rasulullah atau Imam Mahdi. 

Lebih hebat lagi jika pemimpin itu sendiri akan 'transform' menjadi Imam Mahdi yang dinanti-nantikan.

5. Ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin.

Pemimpin sentiasa betul, walaupun nampak zahirnya tidak betul. 

Zahirnya tidak boleh dinilai, kerana batinnya suci dan tidak sama seperti manusia lain. 

Jika berlaku pertembungan antara pemimpin dengan kepentingan diri, kepentingan pemimpin hendaklah didahulukan, walau apapun kos dan risikonya.

6. Dogma - Ada kepercayaan khusus yang ditanamkan oleh pemimpinnya. 

Kepercayaan ini hanya mampu difahami oleh sang pemimpin dan ahlinya. 

Ia eksklusif dan rahsia dalaman. Kepercayaan ini juga boleh diiringi dengan zikir atau wirid yang khas diajar untuk ahli sahaja.

7. Bai'ah atau sumpah setia - Ahli mesti melafazkan ikrar setia terhadap organisasi dan pemimpinnya. 

Ada majlis untuk lafaz ikrar yang dipimpin oleh individu yang mendapat  kepercayaan pemimpin utama. 

Dalam majlis tersebut, biasanya pemimpin utama menjadi ‘the centre of attention’.

8. Ada musuh - Musuhnya boleh jadi sistem riba, Dajal, syaitan, Yahudi atau Wahabi. 

Justifikasi bagi kewujudan musuh tidak penting, asalkan ada 'sesuatu' yang boleh ditunjukkan sebagai penyebab bagi persediaan mereka. 

Musuh tersebut menjadi penghalang terhadap kemajuan agama dan bangsa.

9. Jangka masa - Ada masa yang ditetapkan bagi perjuangan mereka. 

Misalnya, kiamat makin hampir, kita harus bersedia dengan kemunculan Imam Mahdi dan Nabi Isa untuk menentang Dajal. 

Atau peristiwa Dukhan (kabut) akan berlaku tidak lama lagi. 

Walaupun kemunculan Dajal dan kiamat tidak dinafikan dalam Islam, organisasi atau gerakan ini akan bertindah seolah-olah pemimpin mereka mengetahui bahawa masanya sudah tiba dengan jelas. 

Pemimpin dapat meramalkan ketibaan hari kiamat (walaupun Rasulullah saw sendiri pernah mengakui tidak mengetahui tentangnya!)

10. Persediaan kekuatan fizikal -Ahlinya dilatih dengan seni perang, atau dengan seni bela diri yang direka sendiri. 

Gambar fail, peristiwa Al Maunah.

Biasanya ia bukan daripada aliran seni bela diri konvensional yang kita biasa dengar dan lihat. 

Biasanya, segala gerakannya mesti dikaitkan dengan zikir khusus untuk mendapatkan kekuatan yang melebihi orang lain. 

Terdapat juga keadaan ahli diajar dengan ilmu kebal, yang akhirnya didapati palsu. Ini terbukti dalam kes Al-Ma’unah.

11. Ketundukan dan perhambaan -Ahli perlu sentiasa bersedia untuk diperhambakan menurut kehendak pemimpin dan organisasi. 

Mereka diindoktrinasikan itu terjemahan daripada rasa kasih terhadap organisasi dan pemimpin, bukannya perhambaan. 

Anak-anaknya kader yang setia, wanitanya pula menjadi pelayan. 

Para lelakinya dianggap sebagai pelindung dan hero. 

Tiada janji timbal balas melainkan mencari keredaan dan restu pemimpin.

Gambar fail, anggota Al Maunah menghadiri perbicaraan di mahkamah.

12. Identiti -Semua pengikut ada identiti tersendiri, baik dari segi pakaian, cara percakapan ataupun ciri ibadahnya. 

Identiti inilah yang berhasil untuk menanamkan kebersamaan dalam kalangan mereka. 

Kesepunyaan dan keseragaman identiti membentuk sifat kekitaan dan kesepaduan antara ahli organisasi.

Gerakan atau organisasi seperti ini berbahaya kepada keselamatan negara dan umat Islam dalam jangka masa yang panjang kerana ahlinya cenderung untuk menganggap orang lain sebagai musuh yang tidak memahami perjuangan mereka. 

Dari sinilah ekstremisme boleh bercambah dan meletus.

Mungkin anda boleh menambah lagi cirinya untuk kita sama-sama memberikan peringatan kepada umat Islam dan seluruh warganegara kita di negara ini.


SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Artikel ini pandnagan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.