Mangsa banjir di Kedah menurun kepada 139 orang
Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 139 orang daripada 47 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 243 orang daripada 59 keluarga pagi tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu dan Padang Terap itu ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).
"Di daerah Kubang Pasu, seramai 97 orang daripada 35 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang telah dibuka pada 11.43 malam tadi.
"Kesemua mangsa ini adalah dari Kampung Nagmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Wan Kembara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Nongmi, Kampung Halban dan Kampung Belakang T-Hotel," katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata di daerah Padang Terap pula seramai 42 orang daripada 12 keluarga dari Kampung Tanjung Kanan ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung Kanan yang dibuka pada pukul 12 tengah hari tadi.
"Sementara itu, dua PPS di daerah Pendang iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan SMK Pendang yang menempatkan 207 orang daripada 49 keluarga telah ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang," katanya.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 5 petang paras air Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi paras bahaya, manakala Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar melebihi tahap amaran.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai