Bagi Akmal, wira perlu jadi kasar dan biadab - Ahli akademik
Dr Akmal Saleh seperti keliru tentang prinsip kepahlawanan dan telah mencampur-adukkannya dengan sikap dan pendekatan keras, menurut ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi.
Menurut Tajuddin, walaupun ketua Pemuda Umno itu patut dipuji atas semangatnya yang sanggup berkorban, namun jenis keperwiraan yang ditunjuknya tidak kena pada tempatnya.
“Pada perkiraan Akmal, wira adalah kasar, biadab, dan tidak hormat. Malangnya dia gagal melihat bahawa ini adalah ciri-ciri yang dikaitkan dengan penjahat,” katanya kepada Malaysiakini.
“Persoalan mudahnya ialah, mengapa dia tidak boleh menyatakan bantahannya secara sivil tanpa menggunakan kata-kata penghinaan dan kejian?
“Bukankah itu yang diharapkan daripada seorang yang berbudaya dan berpendidikan? Melainkan jika dia percaya itu tidak akan menjadikannya popular. Jika begitu, maka dia hanya bersikap oportunis, tidak lebih sekadar itu,” kata Tajuddin yang merupakan seorang pensyarah seni bina.
Tajuddin mengesyorkan agar Akmal lebih banyak membaca dan dia sedia untuk memberi senarai buku yang akan membantu Akmal "meluaskan pemikirannya" agar boleh "menjadi pemimpin sejati apabila lebih dewasa".
"Jika tidak, dia akan kekal sebagai pembuli, kuasa pemecah belah dan contoh buruk untuk belia," tambahnya.
Tajuddin berkata demikian sebagai demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru Akmal berhubung pertikaiannya dengan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkait isu pensijilan halal.
Menegaskan dia tidak akan meminta maaf mahupun menyerah kalah, Akmal memaklumkan dia telah dipanggil polis untuk disoal siasat dan berkata dia dididik untuk mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa.
Namun, Tajuddin berkata sepanjang pengetahuannya mengenai Islam, dia berpandangan orang Islam perlu memastikan keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum atau agama.
“Kedua, Islam mengajar saya bahawa mempertahankan rumah dan keluarga saya dikategori sebagai ‘jihad’...Islam mengajar saya dalam perjuangan dan usaha ke arah keadilan, saya mesti sentiasa melakukannya dengan ‘berhikmah’ atau bijaksana.
"Islam mengajar saya bahawa menghina orang, walaupun mereka mungkin musuh, bukanlah cara yang tepat dalam apa jua keadaan," jelasnya.
Tauladan daripada Saidina Ali
Tajuddin mengimbas kembali peristiwa melibatkan Saidina Ali Abi Talib ketika hendak menyerang seorang musuh semasa perang.
“Musuh meludahi mukanya, dan Ali menahan dengan tangannya dan berlalu pergi. Apabila musuh bertanya Ali mengapa dia menahan tangannya, Ali menjawab, 'ketika saya hendak menyerang musuh, saya melakukannya kerana Allah, tetapi apabila kamu meludahi muka saya, saya bimbang niat saya tidak lagi suci dan saya mungkin menyerang atau membunuh kamu dalam keadaan marah kerana kepentingan diri’.
“Inilah Islam yang diajar kepada saya,” kata Tajuddin lagi.
Tajuddin juga memetik tulisan aktivis akademik dan pendidikan Allahyarham Siddiq Fadzil, yang menolak istilah "kafir" untuk "persaudaraan setanah air" dan "persaudaraan semanusia".
“Nabi Muhammad, daripada lebih 20,000 hadis yang saya baca, tidak pernah menunjukkan penghinaan seperti yang ditunjukkan Akmal. Suatu ketika, Nabi tidak senang dengan seseorang dan mengadu tentang orang itu kepada isterinya, kemudian tiba-tiba orang itu datang ke rumahnya.
“Nabi menyambut lelaki itu dengan senyuman dan melayannya dengan hormat sehingga dia pergi. Aishah, isteri nabi, bertanya kepadanya mengapa dia begitu baik dan menghormati orang itu, dan nabi menjawab orang itu adalah tetamu dan Islam mengajar tuan rumah untuk menghormati tetamu.
“Kelakuan seperti Akmal tiada tempat dalam Islam. Dia hanya bertindak untuk dirinya, ego dan kerjayanya. Dia tidak berkhidmat untuk Melayu, Islam dan sudah tentu bukan untuk Malaysia,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai