Skip to main
Logo Malaysiakini

Tewas di Mahkota: PN dan Bersatu akan bangkit, kata Muhyiddin

Kekalahan dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota semalam tidak akan mematahkan semangat Perikatan Nasional (PN) untuk terus berjuang, menurut pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bahkan berkata dia yakin mereka akan kembali bangkit.

“Insya-Allah, PN dan Bersatu khususnya akan bangkit semula dengan semangat yang lebih jitu untuk mencipta kemenangan di pentas demokrasi,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Semalam, BN berjaya mengekalkan penguasaan di DUN Mahkota menerusi Syed Hussien Syed Abdullah yang menang bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi.

Ketua Pemuda Kluang itu memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan calon PN Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar mendapat 7,347 undi.


Baca: BN sapu Mahkota, rampas undi PN tapi sokongan Cina merosot


Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata pihaknya perlu menerima isyarat yang diberikan pengundi DUN Mahkota dengan berlapang dada dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki prestasi parti. 

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi DUN Mahkota yang telah mengundi calon PN. Setinggi-tinggi terima kasih juga saya ucapkan kepada semua jentera PN yang telah gigih membantu calon PN. 

“Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit anda dalam PRK ini amat saya hargai. PN menghormati pilihan pengundi DUN Mahkota selaras dengan semangat demokrasi,” katanya lagi.