Tiga maut, lima cedera: Nahas 7 kenderaan di Lebuhraya KL-Karak
Tiga lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan tujuh kenderaan di KM42 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pagi ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan mengenai nahas itu pada pukul 4.13 pagi yang melibatkan empat kereta, sebuah lori tiga tan, dan dua treler, dengan sembilan lelaki dan empat wanita terlibat sebagai mangsa.
"Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan memadam kebakaran melibatkan sebuah lori treler yang terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39 dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata dua wanita yang cedera dikejarkan ke hospital dengan jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) manakala tiga lelaki yang cedera parah dibawa ke hospital oleh ambulans KKM.
Operasi menyelamat yang melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong tamat pada pukul 5.50 pagi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai