Sembilan rumah terjejas dipukul ribut di Jasin
Sembilan rumah di Taman Kelubi Damai di Jasin terjejas selepas bumbung rumah mereka rosak dipukul ribut dalam kejadian petang semalam.
Penduduk A Nelson, 50, berkata ketika kejadian kira-kira 3.30 petang itu, dia bersama keluarga sedang berehat di ruang tamu, namun dikejutkan dengan bunyi seperti letupan bunga api dari atas bumbung.
Beliau berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba kerana cuaca sebelum itu cerah dan sepanjang ribut berkenaan, dia memeluk anak tunggal yang berumur lapan tahun kerana bimbang dengan keselamatannya.
"Selepas ribut reda, kami keluar dari rumah dan mendapati jiran-jiran turut sama berada di luar rumah dan melihat keadaan atap genting telah rosak akibat ribut itu.
"Sejak 12 tahun menyewa di rumah ini tidak pernah hadapi kejadian seperti ini, tetapi saya difahamkan sebelum itu pernah berlaku kerana kawasan itu merupakan kawasan laluan angin," katanya kepada pemberita di Jasin hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar turut turun padang melawat penduduk terjejas akibat kejadian itu.
Manakala G Satiyabama,49, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dipanggil jiran berhadapan rumah mengenai bumbung rumahnya yang telah rosak.
"Saya ada terdengar bunyi yang sangat kuat ketika sedang berehat, namun saya segera mendapatkan ibu yang telah berusia kerana risau sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
"Kejadian itu berlaku terlalu sekejap, tidak lama selepas itu hujan lebat menyebabkan beberapa bahagian rumah basah dimasuki air kerana atap yang telah rosak," katanya.
Sementara itu Khaidhirah berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan bencana kepada semua keluarga yang terlibat dan tindakan segera akan diambil bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk terkesan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai