Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Jika ada parti patut merendah diri, ia adalah Umno

ULASAN | Cadangan Nur Jazlan Mohamed agar PH meminta maaf kepada Umno adalah sesuatu yang mengarut, tidak perlu dan angkuh, malah hanya mencerminkan pemahaman singkat terhadap dinamika politik semasa.

Mengapa PH perlu meminta maaf atas tuduhan yang bukan sahaja berasas tetapi juga terbukti benar dalam beberapa kes yang melibatkan Umno, terutamanya skandal-skandal besar seperti 1MDB dan penyelewengan kuasa yang merosakkan institusi negara?

Tuduhan yang dilemparkan oleh PH selama ini adalah berdasarkan fakta, bukan sekadar ciptaan politik untuk meraih populariti.

Umno sendiri bertanggungjawab atas persepsi buruk yang wujud dalam kalangan rakyat, terutamanya pengundi muda dan kelas menengah, yang muak dengan amalan politik lama berasaskan kronisme, rasuah, dan salah guna kuasa.

PH tidak mencipta naratif ini. Ia adalah akibat daripada tingkah laku kepimpinan Umno sendiri. Maka, apakah rasional untuk PH meminta maaf atas sesuatu yang mereka dedahkan demi kebaikan negara dan rakyat?

Seterusnya, kenyataan bahawa PH perlu bergantung kepada Umno untuk kekal berkuasa juga tidak harus dilihat dari satu sisi pandang sahaja.

Memang benar, kerjasama ini penting untuk kestabilan kerajaan perpaduan, tetapi tidak wajar untuk mengatakan bahawa PH sepenuhnya bergantung kepada Umno.

Sebaliknya, kerjasama ini juga merupakan langkah survival bagi Umno yang telah kehilangan sokongan besar dalam kalangan rakyat selepas PRU ke-15.

Jadi, PH bukan satu-satunya pihak yang mendapat manfaat daripda kerjasama ini. Sebaliknya Umno juga penerima manfaat terbesar.

Jika ada parti yang patut merendah diri dan menunjukkan keikhlasan dalam kerjasama ini, parti itu ialah Umno yang kini terpaksa bekerja dengan PH demi relevansi politiknya.

Tetapi dalam keadaan begitu pun, PH tidak pernah mendesak bahkan tidak mahu mengungkit perkara tersebut sebagaimana yang dibuat oleh Nur Jazlan sekarang.

Tambahan pula, meminta maaf tidak akan mengubah hakikat sejarah atau realiti politik. Umno perlu menerima hakikat bahawa persepsi negatif terhadap mereka bukanlah sesuatu yang dicipta oleh PH semata-mata untuk kepentingan politik.

Ia adalah hasil tindakan Umno sendiri.

Sebaliknya PH perlu terus memberikan fokus pada agenda reformasi dan membina masa depan negara yang lebih baik tanpa perlu tunduk kepada tekanan untuk "membersihkan" imej Umno.

Politik hari ini memerlukan kematangan, tetapi kematangan tidak bermakna melupakan atau memaafkan kesalahan masa lalu. Nur Jazlan mungkin berpendapat bahawa permintaan maaf akan memulihkan Umno, tetapi realitinya, ia tidak akan mengubah pandangan rakyat terhadap Umno.

Pilihan yang kita ada kini ialah terus bergerak ke hadapan, meninggalkan sentimen lama dan fokus kepada usaha membina negara yang lebih baik. PH dan UMNO perlu sama-sama bekerja dalam kerajaan perpaduan demi kestabilan politik dan kemakmuran rakyat.


MOHD TAQIUDDIN CHEMAN ialah ketua Pemuda Amanah Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.