M'sia sasar lengkapkan pelan tindakan teknologi AI dalam 12 bulan
Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar itu adalah satu daripada dapatan utama berkaitan teknologi yang disasarkan dalam tempoh berkenaan, dan berharap sasaran itu mampu dicapai lebih awal.
“Apabila saya kata 12 bulan, ia cadangan menteri.
“Bagi saya tiada sebab untuk tunggu 12 bulan, sepatutnya enam bulan boleh siap,” katanya ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata kerajaan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi AI dalam sektor-sektor utama di seluruh Malaysia.
Dengan menerima teknologi tersebut, kata perdana menteri, agensi-agensi kerajaan dapat mengoptimumkan proses, mengurangkan kos, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
"Contoh ketara ialah penciptaan platform Delima oleh Kementerian Pendidikan melalui teknologi awan Google.
"Saya telah melihatnya, ia sangat mengagumkan dan memberi sumbangan besar dalam meningkatkan standard pendidikan serta mengubah pengalaman pendidikan.
"Saya gembira untuk menyatakan bahawa 5.5 juta pelajar dan guru di Malaysia hari ini menggunakan platform Delima.
"Usaha ini wajar dicontohi oleh seluruh jentera kerajaan di mana yang sesuai, saya akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat kabinet esok," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai