Skip to main
Logo Malaysiakini

Penunjuk perasaan berhimpun di pejabat MPS bantah projek insinerator

Laungan bantah projek insinerator bergema di Selayang pagi ini apabila lebih 120 penunjuk perasaan berhimpun di hadapan pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Peserta himpunan menuntut pihak berkuasa untuk menghentikan rancangan membina insinerator di Batu Arang, Rawang.

Disatukan di bawah pakatan yang dipanggil Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI), mereka menggesa Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin supaya mengutamakan kebajikan penduduk Rawang berbanding syarikat yang mengaut keuntungan yang ingin membina loji sisa kepada tenaga (WTE) di kawasan bekas perlombongan arang batu.

Jurucakap RTI Abdul Hanan Abd Mokti berkata mereka berharap kerajaan tempatan akan mengkaji semula keputusan baru-baru ini untuk meluluskan pengezonan semula plot tanah di Batu Arang, yang memberi laluan kepada pembinaan insinerator.

"Kami harap MPS dengar bantahan kami. Kami pembayar cukai dan ini kampung halaman kami.

"Tuan Yang Dipertua MPS, tuan punyai amanah jaga keselamatan dan kesihatan warga dalam kawasan MPS ini.

"Amanah tuan-tuan adalah kepada penduduk. Bukan pada syarikat atau pihak swasta yang akan ambil keuntungan dari insinerator ini," kata Hanan.

Bantahan selama sejam itu bermula pada pukul 10 pagi dan disokong beberapa lagi kumpulan alam sekitar dan NGO, termasuk Greenpeace Malaysia dan Pusat Membanteras Kronisme dan Rasuah (C4).

Ia turut menyaksikan Hanan dan beberapa wakil menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada pengarah bahagian perancangan bandar MPS Noriza Bahari, yang mewakili Shahman.

RTI, yang terdiri daripada gabungan persatuan penduduk di Rawang, lantang membantah rancangan kerajaan negeri Selangor untuk membina insinerator di bawah projek bernama loji tenaga hijau WTE Sultan Idris Shah di Batu Arang.

Projek itu akan diselia oleh Pengurusan Sisa Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) dan YTL Power International Bhd.

Menurut gabungan itu, penduduk Rawang sangat bimbang dengan lokasi yang dipilih kerajaan negeri, dengan alasan kesihatan dan keselamatan kerana insinerator akan dibina berhampiran dengan kawasan perumahan.

Perumahan yang paling dekat dengan tapak itu hanya 50m jauhnya, tambah mereka.

RTI juga mendakwa Batu Arang tidak sesuai untuk projek sedemikian kerana insinerator itu akan diletakkan di atas bekas lombong arang batu terbuka, yang menurut kumpulan itu menyebabkan kawasan tanah tidak stabil dan berisiko runtuh.

RTI berkata terdapat juga lapisan arang batu dianggarkan kira-kira 50km panjang keseluruhan di bawah Batu Arang, dan mempunyai insinerator WTE di kawasan itu menimbulkan risiko kebakaran dan letupan kepada penduduk.

Seorang lagi penceramah pada protes itu, Ahmad Faiz Azmir Ahmad Rafi mempersoalkan logik pihak berkuasa negeri merancang insinerator di kawasan sedemikian.

"Projek ini tidak sepatutnya dibuat kerana Batu Arang sangat rapuh. Sebab itu ia diisytiharkan sebagai tapak warisan," katanya.

Sementara itu, wakil Greenpeace Malaysia Hamizah Shamsudeen dalam ucapannya menyeru kerajaan tempatan Selayang menghormati hak penduduk Rawang untuk menjalani kehidupan yang sihat.

“Seperti yang sudah banyak kali ditekankan sebelum ini, tapak insinerator terletak kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.

“Loji itu menimbulkan risiko keselamatan yang besar kepada penduduk dan juga alam sekitar, termasuk pencemaran udara, air dan tanah.

"Penduduk adalah mereka yang akan menghadapi semua risiko ini. Apa yang akan berlaku kepada mereka jika bantahan mereka hari ini tidak didengari?" soalnya.

Hamizah berkata Greenpeace Malaysia menggesa MPS untuk mempertimbangkan semula kelulusan mereka untuk pengezonan semula.