Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PRK Mahkota: Antara kemenangan dan kekecewaan

Tahniah kepada seluruh jentera Perpaduan yang bertugas memenangkan calon BN (Umno) di DUN Mahkota. Kemenangan besar ini bukan sahaja dinantikan, bahkan sekali gus menutup rapat mulut puaka pembangkang yang setiap hari meniup sentimen perkauman dan mengganggu-gugat kestabilan politik negara. 

Mereka sengaja memainkan isu yang boleh menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang keutuhan kerjasama politik Perpaduan, lalu mengharapkan akan berlaku kemerosotan ekonomi yang akan memberikan pulangan politik kepada mereka. Tanpa mereka sedar (atau mungkin dalam sedar), mereka membakar seluruh potensi pada negara tercinta.

PRK Mahkota memberikan mesej jelas, penjawat awam dan orang Melayu, terutamanya di Johor, boleh menerima kepelbagaian, dan boleh menyerap perubahan.

Perubahan politik yang berlaku adalah kerana dinamika politik yang memaksa kita keseluruhannya berubah. Tanpa keberanian untuk berubah, kita akan hanyut dibawa arus kuat perubahan dunia.

Namun di sebalik kemenangan yang membanggakan itu, ada kekecewaan yang terungkap. Beberapa kenyataan pimpinan BN dan Umno, terutamanya ketua pemudanya, Dr Akmal Saleh sedikit sebanyak menambah warna yang tidak perlu, yang mencacatkan gambaran besar kemenangan tersebut. 

Mesej yang diberikan oleh presiden Umno jelas, bahawa Umno dan BN perlu mencari titik pertemuan bagi memperkukuh kerjasama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Dalam proses itu, kenyataan yang pramatang dan tidak sensitif sewajarnya perlu dielakkan.

Politik menilai angka dan sentimen. Benar, kemenangan di Mahkota menggambarkan kembalinya sokongan Melayu terutama Melayu Johor kepada Umno/BN. Namun, peranan pengundi Bukan Melayu juga adalah signifikan. Orang Melayu kebanyakannya berpolitik secara sentimen. Namun, orang Bukan Melayu mereka lebih suka berpolitik secara kritikal dan melihat pada asas.

Saya boleh andaikan cara berpolitik sebagai pelaburan. Cara politik yang menunggang sentimen adalah berasaskan konsep analisis teknikal, manakala politik nilai adalah berasaskan konsep analisis asas (fundamental analysis). 

Kalau kita berpolitik secara sentimen, menunggang arus sentimen, kalau kena caranya, kita boleh menang dengan kemenangan besar. Namun, adakah kemenangan itu akan bertahan?

Kemenangan yang berasaskan sentimen akan menghasilkan kesan “pisang goreng panas”. Apabila pisang goreng sejuk, ia tidak lagi sedap. Maka kita kena panaskan semula sebelum boleh dimakan dengan kopi panas. Tapi, kalau terlalu kerap panaskan, kesedapan pisang goreng itu semakin hilang.

Politik ‘analisis asas’

Disebabkan ramai orang Melayu dan anak muda suka berpolitik secara sentimen, maka mungkin itulah sebabnya Dr Akmal suka bermain dan membakar sentimen mereka. Tujuan Dr Akmal mungkin untuk mendapatkan sebanyak mungkin peralihan pengundi daripada sektor ini. Namun, apakah kesannya kepada pengundi bukan Melayu?

Data menunjukkan hampir di semua PRK selepas PRU15 dahulu, peratusan keluar mengundi untuk bukan Melayu amatlah tidak memberangsangkan. Cara mereka berpolitik adalah berasaskan konsep analisis asas. Mereka tahu bahawa PRK tidak akan mengubah apa-apa pada kedudukan kerajaan pusat. Mereka tidak mudah dibuai dengan politik sentimen.

Oleh sebab itu, cara mereka menilai adalah bagaimana interaksi Umno/BN dengan PH. Mereka menilai bahasa yang digunakan. Mereka menilai tingkah laku para pimpinan dalam melaksanakan dasar yang menguntungkan mereka dan negara. Sejarah menunjukkan cara politik ini sejak tahun 1998.

Tahun 1998, sentimen pemecatan Anwar Ibrahim menyebabkan orang Melayu turun ke jalan raya. Laungan Reformasi bergema. Jika dikaji secara objektif, majoriti pendukung Reformasi ketika itu adalah Melayu. Pada ketika itu, sokongan bukan Melayu kepada Mahathir Mohamad masih kuat.

Anwar dan Pakatan Rakyat tidak berputus asa. Mereka melalui detik sukar, ditahan, dipenjarakan, dikasari, namun mereka tetap duduk bersama menghadapi kerajaan pada ketika itu. Sedikit demi sedikit sokongan bukan Melayu diraih oleh mereka. 

Mereka melihat pakatan ketika itu konsisten mengangkat tema yang sama, dalam suka mahupun duka. Kemuncaknya adalah pada tahun 2018. PH menang mengalahkan BN yang ketika kerajaan yang memerintah.

Semua itu adalah sejarah. Benar, kemenangan boleh diraih dengan membakar sentimen. Itulah resepi kemenangan PN di banyak tempat. Namun, kemenangan yang superficial ini tidak akan kekal lama.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan bukanlah diasaskan oleh sentimen. Ia terbentuk berdasarkan nilai kebersamaan. Semua parti yang membentuk kerajaan bersetuju untuk bersama atas nilai yang sama, iaitu nilai perpaduan. Perpaduan membentuk keharmonian. Perpaduan membentuk kestabilan. Kestabilan membawa kepada keyakinan.

Kestabilan inilah yang akan memacu kesejahteraan dalam negara kita. Mana mungkin mana-mana negara yang bergolak, pada masa yang sama, mampu membina kekuatan ekonomi. Ini tidak mungkin berlaku.

Lalu ada persoalan yang dilontarkan oleh Dr Akmal, dan beberapa pimpinan Umno/BN yang lain, termasuk Nur Jazlan Mohamed, bahawa Umno berjaya mendapatkan semula pengundi Melayu. Dan mereka mempersoalkan kemampuan parti lain membawa undi bukan Melayu. 

Sebenarnya, jawapan bagi persoalan tersebut ada di dalam tulisan ini, di atas. Pengundi bukan Melayu sedang menilai sikap dan tingkah laku kita semua. Mereka akan menterjemahkannya di dalam PRU16 yang akan datang.

Justeru itu, di samping kita berusaha memperkuatkan akar umbi masing-masing, kita juga perlu menjaga setiap komunikasi kita, secara dalaman mahupun dengan parti komponen yang lain. Setiap tindakan kita akan diperhatikan. Begitu juga dari segi sistem penyampaian kita.

Bagaimana kita mahu menjayakan agenda besar Gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh PMX dan kabinet? Adakah kita sudah faham, hadam, dan laksanakan?

Itulah sebenarnya fokus yang sedang diberikan oleh kepimpinan negara. Perlukah PH

atau BN meminta maaf kepada satu sama lain? Itu terpulang pada kesanggupan masing-masing. Namun itu bukanlah isu utama.

Isu utama, yang sedang dinilai oleh rakyat dan pengundi, adalah: “Bolehkah Perpaduan bekerjasama dengan baik?”


AHMAD SAFWAN MOHAMAD ialah ketua cabang PKR Gerik, Perak, merangkap pengarah Biro Kesihatan PKR Perak. Penulis juga adalah Penyelaras Komuniti Madani bagi DUN Pengkalan Hulu. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.