Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki Bangladesh didakwa heret kucing sambil bermotosikal

Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan mendatangkan kesakitan ke atas seekor kucing.

Monotosh, 41, didakwa secara bersama-sama seorang lagi individu dengan kejam mengheret seekor kucing dewasa yang diikat dengan alat penjerut di atas jalan raya sambil menaiki motosikal sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan perumahan Seksyen 31 Shah Alam pada 7 Sept lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaaan.

Jika sabit kesalahan Monotosh boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain Monotosh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam K Ragia Sri Devi yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan minimum dengan mengambil kira anak guamnya perlu menyara keluarga di negara asal dengan gaji RM1,500, selain tidak mempunyai keluarga yang terdekat di Malaysia untuk membantu mengumpul wang jaminan yang tinggi.

“Lagipun pasport juga telah diminta untuk diserahkan kepada mahkamah dan anak guam saya tidak lari daripada mana-mana kes dan dia telah bekerjasama dari hari pertama, saya harap mahkamah boleh mempertimbangkan untuk wang jaminan dikurangkan kepada jumlah yang bersesuaian,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

Monotosh juga diarah untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 4 Nov ini.

Terdahulu, mahkamah turut membenarkan permohonan Mohd Sharif agar waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang warganegara asing yang gagal hadir untuk dituduh bersama Monotosh hari ini.

- Bernama