Skip to main
Logo Malaysiakini

Liew sahkan mahu lepas jawatan ketua DAP Johor

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengesahkan dia akan melepaskan jawatan tersebut kepada timbalannya, Teo Nie Ching.

Menurut video yang dimuat naik di platform TikTok melalui akaun Teo malam tadi, Liew menjawab "Ya" apabila ditanya sama ada dia akan berundur atau kekal dengan jawatan tersebut.

"Saya harap pada 6 Okt ini (tarikh pemilihan DAP Johor), saya dan Nie Ching dipilih sebagai salah seorang daripada 15 ahli jawatankuasa negeri.

"Jika kami berdua terpilih menganggotai jawatankuasa negeri, semasa pemilihan seterusnya (untuk menentukan kepemimpinan), saya akan mencalonkan Nie Ching sebagai pengerusi DAP Johor yang seterusnya," kata timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu.

Apabila ditanya mengapa dia "begitu cepat" mahu menyerahkan jawatan pengerusi DAP negeri kepada orang lain, Liew berkata, PRU ke-16 akan berlangsung dua atau dua setengah tahun lagi.

Justeru, katanya, dia berharap Teo memiliki masa yang mencukupi untuk mengetuai DAP Johor dan menyuntik elemen baru ke dalam parti itu, khususnya untuk golongan muda.

Katanya kepimpinan baru sering membawa idea dan suasana yang lebih segar, termasuk melibatkan lebih banyak perwakilan wanita dalam jawatakuasa negeri.

Liew menambah, apabila dilantik semula sebagai Pengerusi DAP Johor sebelum ini, dia sudah menyatakan bagaimana impiannya untuk bekerjasama dengan Teo dan berharap ahli parlimen Kulai itu akhirnya dilantik mengetuai organisasi berkenaan.

Terhadap kenyataan Liew itu, Teo membalas dengan senyuman dan berkata: "Ya, anda telah mengatakan hal itu selama tiga tahun, dan saya selalu berharap anda akan mengubah fikiran pada saat-saat akhir."

Liew kemudian menjawab: "Saya sudah menjadi pengerusi (DAP) Johor selama 10 tahun, dan tiba masanya untuk kamu bersinar."

Sementara itu Teo yang juga timbalan menteri komunikasi berkata jika dia memang perlu memikul tanggungjawab memimpin DAP Johor, dia tidak akan lari daripada kepercayaan yang diberikan parti berkenaan.

"Jadi, saya harap kita sama-sama mendapat sokongan ahli parti di Johor pada 6 Oktober nanti," katanya.

Malaysiakini pada 27 Sept lalu melaporkan Liew menyatakan hasratnya untuk menyerahkan jawatan sebagai orang nombor satu DAP Johor kepada pemimpin lain.

Kenyataan itu dibuatnya semasa mesyuarat Jawatankuasa DAP Johor yang lalu.

Untuk rekod pemilihan kepimpinan DAP melalui dua proses berbeza.

Pertama, perwakilan akan mengundi untuk memilih 15 ahli jawatankuasa negeri. Kemudian, jawatankuasa yang terpilih itu akan bermesyuarat sesama sendiri untuk melantik individu yang dirasakan sesuai mengisi semua jawatan termasuk pengerusi.