Kes 1MDB RM2.27b: Najib bebas atau bela diri diketahui 30 Okt
Najib Razak akan mengetahui nasibnya pada 30 Okt ini sama ada akan bebas atau perlu membela diri terhadap pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini menetapkan tarikh keputusan sam ada pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie atau tidak terhadap bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu.
Sekiranya Hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Najib perlu menjawab tuduhan, maka tertuduh akan dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
"Saya akan menyampaikan keputusan saya pada 30 Oktober pada penghujung prima facie, sama ada untuk memanggil pembelaan (Najib atau tidak)," kata Sequerah.
Hadapi 25 pertuduhan
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib, 71, didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.
Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.
Pada 30 Mei tahun ini, pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada penghujung 2018.
Prosiding kini berada di peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, dan hanya pasukan peguam dan pendakwa akan mmebuat rumusan terakhir berdasarkan bukti lisan dan bukti berdokumen.
Seramai 50 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo.
Loo didakwa sebahagian daripada kumpulan dalang utama 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low). Pihak berkuasa masih menjejaki Low.
Pihak pendakwaan mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion wang yang diselewengkan daripada dana kekayaan berdaulat tersebut antara 2011 dan 2014.
Bagaimanapun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku yang berlaku dalam 1MDB dan jika ada sebarang kesalahan yang berlaku, ia sepenuhnya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana tersebut.
Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini menyatakan bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi berjanji untuk memberikan sumbangan kewangan kepada tertuduh bagi tujuan politik.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengetuai pihak pendakwaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai