Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Kerana nasihat terlalu rumit untuk difahami

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PULASAN | Baru 22 bulan kerajaan perpaduan dilahirkan, lega benar rasa hati ini apabila melihat keadaan negara sudah mula kembali ke asal.

Baru-baru ini - ketika menahan sabar kerana terpaksa bersesak-sesak menuju 'bottleneck' sebaik saja memasuki lebuh raya di Bukit Jelutong, Shah Alam - kedengaran siren polis trafik.

Ia adalah perkara biasa untuk pagi yang sibuk di hari bekerja. Tetapi kali ini ia agak sedikit lain. Siren itu bukanlah petanda anggota keselamatan meminta diberi laluan untuk membawa tahanan di dalam Black Maria ke mahkamah.

Kali ini ia melibatkan konvoi orang kenamaan (VVIP).

Dalam kesesakan itu - bayangkan, lima enam barisan kenderaan yang selamba saja dipaksa oleh konsesi lebuh raya untuk pandai-pandai sendiri menyelit di dua lorong menuju ke pusat bandar raya atau Sepang - kenderaan berwarna hitam itu menyusup setiap ada ruang.

Biasalah, pada waktu puncak ketika orang ramai berebut-rebut mahu sampai ke tempat kerja sebelum terlewat, akan ada kesukaran untuk itu.

Tiba-tiba salah satu tingkap kenderaan berwarna hitam dan bercermin gelap itu dibuka. Kelihatan seorang lelaki bermuka garang dan tegas mengeluarkan sedikit kepalanya. Bukan untuk melihat, rasanya, tetapi seolah-olah mahu memberi isyarat: "Hei! Cepat bagi laluanlah!"

Semua demi rakyat

Dalam kejadian lain, alunan bunyi bingit siren pasukan keselamatan di jalan yang sesak sudah mula muncul kembali untuk menambah kesesakan jalan raya.

Seperti yang dinyatakan tadi, jika ia melibatkan ambulans atau kenderaan polis yang membawa tahanan dari lokap atau penjara, ia tidaklah menjengkelkan sangat. Tetapi jika melibatkan VVIP, ia adalah rahmat buat sekelian alam apabila kita yang marhaen ini dipaksa menyelit ke sana sini demi membuka jalan orang yang mungkin kita angkat menjadi jurucakap atau wakil memperjuangkan kesusahan kita.

Insiden itu pernah berlaku dengan bermaharajalela suatu ketika dulu. Kemudian barangkali masih ada sedikit akal dan kewarasan dalam otak orang politik, maka amalan menjadi raja di jalan raya itu nampaknya dapat diatasi.

Kita pun jadi rindu untuk hidup ini disusahkan oleh mereka.

Kini selepas 22 bulan kerajaan perpaduan nampaknya rindu itu semakin terubat. Dan bukan itu saja khabar baik yang sedang mendatangi kita yang marhaen lagi bangsat ini.

Akhir-akhir ini, dari sehari ke sehari orang politik kembali menunjukkan belang lama mereka apabila berlumba-lumba menunjukkan kebodohan masing-masing untuk menghiburkan rakyat.

Memang terpuji benar perbuatan para jadong itu. Selepas sesuka hati bertindak mengikut perut masing-masing dan menyandarkannya atas nama "rakyat", apa lagi yang layak mereka lakukan selain sibuk berkelahi dan menonjolkan diri.

Apabila menjerit dan memekak tak ketahuan hala, mereka kata demi rakyat. Kemudian mereka berkelakuan hodoh lagi bodoh, mereka dakwa untuk rakyat. Berebut itu dan ini, kononnya sebagai ikhtiar untuk rakyat.

Apabila ada isu yang melibatkan bangsa atau agama yang berbeza, mereka menyandarkan kebodohan itu kepada tuhan. Demi agama kononnya. Dan mereka melakukan semua itu tanpa rasa malu kepada tuhan.

Manusia paling dibenci

Memang mereka - para jadong itu - bercakap maha benar apabila menggunakan rakyat sebagai alasan. Tanpa kita sedar, rakyat itu, mereka sendirilah! Sedangkan kita ini tidak lebih daripada tunggul kayu yang berguna empat atau lima tahun sekali saja.

Ketika itu semua orang politik akan menjadi agar-agar dek kerana lemah dan gemalai menemui kita untuk diundi.

Tetapi masa untuk pilihan raya masih jauh. Kerana itu orang politik tidak peduli pun kepada kesusahan yang kita kena hadap saban hari. Di kepala dan otak mereka, apa yang perlu ialah bercakap dan bercakap. Bergaduh dan bergaduh.

Tidak sampai 24 bulan, orang politik sudah lupa bahawa pada suatu masa yang tidak berapa lama dulu, mereka adalah manusia yang paling dibenci oleh majoriti rakyat di negara ini.

Kemudian apabila mendapat sedikit kuasa, segala jembalang dan santau yang mereka simpan di sebalik busjaket itu dikeluarkan. Lalu mereka bertelanjang untuk menayangkan apa yang ada pada badan masing-masing dengan megah.

Para jadong itu menyangka kita - rakyat marhaen dan bangsat ini - kebulur sangat nak menjilat mereka.

Dinasihat atau ditegur, mereka pasti tidak akan mendengar. Rasanya teguran dan nasihat berhemah terlalu rumit untuk difahami oleh para politikus yang mencari inzal melepaskan geram masing-masing.

Justeru, kita perlu bersyukur sebanyak-banyaknya atas segala kebaikan yang diberi mereka sejak akhir-akhir ini. Hidup di negara ini memang untuk menyembah para jadong tersebut saja.

Begitulah sementara menunggu waktu mengundi. Gagal mendapat kuasa untuk menjadi kerajaan secara sendiri nampaknya tidak pernah mengajar orang politik akan makna cerdik.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu membayangkan untuk melihat orang politik dibawa menaiki Black Maria.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.