'Rayer mungkin tinggal dalam gua masa Muhyiddin jadi PM'
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mungkin tinggal di gua ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, sindir seorang pemimpin parti komponen PN.
Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam membidas pemimpin DAP itu yang menyoal apakah yang dilakukan oleh Muhyiddin untuk membantu golongan miskin semasa dia menjadi perdana menteri.
"Saya percaya Rayer baru bangun dari koma atau dia tinggal di gua ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi perdana menteri. Bukan negara kita, tetapi satu dunia tahu Muhyiddin menjadi perdana menteri ketika kemelut Covid-19.
"Sebagai tindak balas terhadap kesan ekonomi Covid-19, dia memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion untuk melembutkan tekanan ekonomi.
"Yang paling penting, pakej rangsangan ekonomi ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia, termasuk golongan kaya yang turut terkesan dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, Muhyiddin juga mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan secara automatik kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20.
"Jangan lupa program bantuan bakul makanan RM300,000 kepada setiap ahli parlimen. Saya pasti RSN Rayer juga menerima peruntukan ini sebagai ahli parlimen waktu itu.
"Saya pasti beliau membantu. Cuma saya tak pasti adakah bantuan Rayer itu sampai kepada semua golongan," katanya.
Sebelum ini, Subramaniam menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan 'serangan' ke atas golongan elit, berkata seolah-olah berdosa untuk menjadi kaya ketika era pentadbiran Madani.
Pemimpin PN itu merujuk kenyataan Anwar bahawa kerajaan mungkin akan menghentikan pemberian subsidi untuk membiayai pendidikan anak golongan mahakaya.
Rayer kemudian tampil mempertahankan kenyataan Anwar berkata sekiranya kerajaan tidak memberi subsidi pendidikan terhadap pelajar daripada keluarga kaya maka ia akan memanfaatkan kanak-kanak keluarga miskin dengan meletakkan peluang mereka di 'padang yang sama rata'.
Sementara itu, Subramaniam mencabar Rayer menyenaraikan rancangan baru kerajaan Madani yang dikhususkan kepada masyarakat India.
"Sebelum menjadi kerajaan, pemimpin-pemimpin PH sentiasa mengkritik kerajaan-kerajaan sebelum ini kononnya anak tirikan masyarakat India. Mereka juga dalam pelbagai situasi membidas rancangan khusus kepada masyarakat India yang diumumkan oleh kerajaan BN dan PN.
"Jadi, saya nak cabar Rayer senaraikan rancangan-rancangan baru yang khas oleh kerajaan madani hari ini kepada masyarakat India.
"Bermula Mitra, pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada golongan wanita India yang kini dikenali sebagai program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN), pinjaman Tekun, bantuan bakul makanan Deepavali semuanya idea daripada kerajaan terdahulu.
"Maksudnya, kerajaan Madani hari ini tidak membantu golongan masyarakat India dengan mengumumkan sebarang rancangan baru sebaliknya hanya meneruskan rancangan-rancangan oleh kerajaan sebelum ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai