'Peserta larian berhak pilih pakaian tapi perlu bersesuaian'
Satu larian amal yang diadakan di Kota Tinggi, Johor hujung minggu lalu tidak berakhir seperti banyak acara larian yang lain, apabila ia mengundang kontroversi di media sosial.
Larian amal bertemakan “red dress run” anjuran Hash House Harriers Johor Bahru menjadi perhatian apabila segelintir peserta mengenakan pakaian yang berbeza, sehingga acara itu didakwa mempromosikan unsur seksualiti.
Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mahu penganjur acara itu diharamkan terus.
Beberapa penggiat sukan larian yang dihubungi Malaysiakini pula berkata walaupun para peserta berhak mengenakan pakaian sendiri, ia sebaiknya bersesuaian dengan kegiatan larian.
Antaranya Dineshwaran Arumugam, 22, yang berkata dia memahami larian amal itu bersifat lebih santai berbanding acara lain.
“Saya juga pernah lihat pelari yang berpakaian kostum binatang dan adiwira yang ada unsur hiburan.
“Pakaian pelik jarang dilihat dalam acara maraton yang lebih formal. Ini kerana peserta lebih mengutamakan faktor keselesaan dan prestasi,” katanya.
Dia berpandangan pakaian yang tidak sesuai akan menjejaskan prestasi dan keselamatan peserta.
“Atlet selalunya memakai pakaian yang aerodinamik, ringan dan sesuai untuk pergerakan pantas.
“Saya sebagai atlet merasakan pakaian yang terlalu berbeza dan tidak sesuai boleh menjejaskan profesionalisme dan fokus dalam acara larian yang selalunya bersifat kompetitif,” katanya lagi.
Katanya lagi, penganjur boleh memeriksa pakaian peserta sebelum larian dimulakan bagi memastikan ia sesuai dengan acara dan boleh membatalkan penyertaan mereka yang melanggar etika pemakaian yang ditetapkan.
Nur Azan Shah Abdul Rahman juga senada dengan Dineshwaran.
“Walaupun pemakaian adalah hak peserta namun mereka sebaiknya memakai pakaian sukan yang sesuai,” kata pemuda berusia 26 tahun dari Muar, Johor itu.
Baca: PANDUANKINI | Mengapa larian Hash House Harriers pakai gaun?
Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga peserta— seorang lelaki Taiwan berpakaian tradisional, seorang warga India yang memakai sari bersama blaus, dan seorang lelaki tempatan memakai pakaian tidur.
Peserta dari Taiwan tersebut tidak memakai baju dan bahagian punggungnya terdedah.
Susulan kontroversi yang tercetus, Presiden Hash House Harriers Johor Bahru, A Magendran menjelaskan tujuan acara itu diadakan adalah untuk mengumpul dana amal dan mempromosikan Johor, bukannya untuk mempromosikan unsur seksualiti.
“Larian ini semata-mata untuk keseronokan dan kebajikan. Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana kumpulan atau individu berkaitan seksual—ia hanyalah larian,” kata Magendran seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.
“Kami berjaya mengumpul RM10,100, yang akan didermakan kepada kanak-kanak spastik kuadriplegia cerebral palsy melalui persatuan di Johor Baru,” katanya lagi.
Tetapkan garis panduan jelas
Sementara itu, seorang penggiat sukan larian yang hanya ingin dikenali seabgai Paviterrah berpandangan pemakaian tiga peserta itu tidak sesuai dan boleh memberi persepsi negatir terhadap acara itu.
Dia berkata penganjur juga perlu menetapkan garis panduan pemakaian yang jelas, terutama berkaitan aspek kesopanan.
“Saya faham larian amal ini ada tujuan tersendiri tetapi penganjur harus menitikberatkan aspek etika pemakaian dan kesopanan peserta.
“Peserta juga perlulah memahami dan mengikuti etika pemakaian dalam acara larian walaupun ada tema sendiri,” kata wanita berusia 23 tahun itu lagi.
Seorang lagi pelari yang hanya ingin dikenali sebagai Daanesh pula berkata pemakaian yang tidak sesuai mencerminkan kurangnya keseriusan peserta terhadap acara maraton yang menekankan aspek keselesaan dan keselamatan.
“Walaupun peserta memakai kostum unik atau pakaian tradisional, ia nampak tidak praktikal untuk larian jarak jauh kerana ia akan mengehadkan pergerakan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai