ULASAN | Cari cara lebih kreatif galakkan guna bahasa Melayu
ULASAN | Pertamanya, saya ingin menyatakan sokongan kuat saya terhadap bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, sebagai bahasa perantaraan utama dalam negara.
Apabila para pemimpin politik bukan Melayu seperti Anthony Loke, Steven Sim, Howard Lee, dan Gobind Singh, dilihat fasih dan selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu, perkara ini adalah petanda baik dalam usaha merapatkan jurang antara pelbagai komuniti di Malaysia.
Saya sendiri ada banyak pengalaman berkomunikasi dan berinteraksi dalam bahasa Melayu secara kerap dengan mantan pengundi saya di Bangi.
Ia merupakan sebuah kawasan parlimen dengan majoriti 51 peratus pengundinya adalah Melayu, dan saya menangi kerusi Bangi dengan majoriti 69,000 undi dalam PRU 2018.
Sejak 2022, saya telah mengadakan banyak wawancara dalam bahasa Melayu dan menyertai program podcast Keluar Sekejap apabila saya membincangkan pelbagai isu berkenaan politik dan dasar dalam bahasa Melayu dengan hos bersama, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Dalam konteks ini, saya ingin menerangkan ciapan saya semalam yang saya tulis:
“Saya tidak pasti mengapa PMX @anwaribrahim mesti menyasarkan kumpulan-kumpulan tertentu apabila ingin menonjolkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Saya pasti ramai orang dalam dunia korporat di Malaysia berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana perkara ini merupakan amalan biasa dan bukannya kerana mereka membesar di London.
“Mengapa tidak cadangkan idea baru untuk meningkatkan penggunaan dan pemahaman bahasa Melayu melalui saluran baru seperti podcast?
"Penggunaan dan pemikiran saya sendiri dalam bahasa Melayu telah meningkat selepas mendengar @keluarsekejap secara berkala. Mengapa tidak keluarkan lesen radio untuk saluran seperti @BFMradio dalam bahasa Melayu misalnya?”
Ciapan saya ini dilaporkan dalam Free Malaysia Today pada petang 6 Okt 2024.
Disasarkan secara tak adil
Saya pasti Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak berniat untuk menyasarkan ramai rakyat Malaysia yang tidak melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada kumpulan “elit” yang membesar di London, tetapi masih menggunakan (sekurang-kurangnya sedikit) bahasa Inggeris di tempat kerja secara kerap.
Mereka ini termasuklah ribuan rakyat Malaysia yang bekerja untuk pelbagai syarikat antarabangsa di Malaysia dan syarikat-syarikat tersenarai awam, terutamanya syarikat yang mempunyai pelanggan dan operasi di seluruh dunia, ahli akademik di universiti awam dan swasta yang mengajar dalam bahasa Inggeris, dan kakitangan sokongan yang berurusan dengan pelajar antarabangsa, penjawat awam yang perlu berurusan dengan rakan sejawat mereka dari luar negara dalam bahasa Inggeris, para pemandu pelancong dan pemandu teksi yang mempunyai pelanggan yang perlu berbahasa Inggeris, dan ramai lagi.
Dengan menyasarkan mereka yang bertutur dan menggunakan bahasa Inggeris di peringkat “elit”, ramai golongan “bukan elit” lain juga merasakan yang mereka telah disasarkan secara tidak adil oleh ucapan Anwar.
Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai keadaan di Malaysia mungkin berbuat demikian atas sebab yang berbeza, bukannya untuk merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu atau memandang rendah penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.
Kebanyakan mesyuarat agung tahunan syarikat-syarikat tersenarai awam dijalankan dalam bahasa Inggeris kerana banyak laporan kewangan dibentangkan dalam bahasa Inggeris, selain kerana kehadiran pemegang saham asing.
Banyak pembentangan akademik dan persidangan antarabangsa juga dijalankan dengan bahasa Inggeris kerana kehadiran penceramah dan peserta antarabangsa.
Bahasa Melayu dialek Kelate
Namun perkara ini tidak bermaksud tidak ada sesetengah rakyat Malaysia yang kurang selesa atau kurang fasih berbahasa Melayu.
Semestinya ada pelbagai sebab untuk perkara ini yang memerlukan konteks yang berbeza untuk dijelaskan sepenuhnya. Tetapi daripada fokus terhadap perkara negatif, bukankah lebih baik untuk perdana menteri membawakan contoh baru yang lebih kreatif untuk menunjukkan kepentingan penggunaan bahasa Melayu?
Sebagai contoh, MekYunn - seorang Cina Kelantan - telah mengumpul ramai pengikut (termasuklah dalam komuniti orang Melayu) di media sosial kerana kefasihan bahasa Melayunya dan dialek Kelantan (atau lebih dikenali sebagai Kelate).
Beliau juga telah menjadi duta yang baik untuk negara dalam pelbagai aktivitinya.
James Ng - atau lebih dikenali sebagai “bossjames” - telah memanfaatkan imej media sosialnya dengan pelbagai aktiviti dalam bahasa Melayu untuk meluaskan perniagaan motosikalnya.
Seorang rakan saya, Mike Chu - yang menjalankan perniagaan barangan aktiviti luaran dan sukan di Ipoh - sering menonjolkan produknya dan menjalankan kempen iklan dalam bahasa Melayu sebagai cara komunikasi utamanya.
Pelawak Douglas Lim juga sering menerbitkan klip video pendek dalam bahasa Melayu yang ditonton oleh ramai orang daripada pelbagai komuniti.
Pelbagai tawaran penajaan yang diraih oleh program podcast Keluar Sekejap menunjukkan adanya pasaran komersial yang menarik untuk kandungan berkualiti dalam bahasa Melayu (yang mungkin bercampur sedikit dengan bahasa Inggeris) di Malaysia.
Daripada menunjukkan naratif yang negatif, bukankah lebih baik untuk perdana menteri menunjukkan naratif positif yang boleh menggalakkan dan memberikan insentif kepada orang lain agar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka mencapai komuniti yang lebih meluas, dan bukannya memaksa mereka?
Mungkin sudah tiba masanya untuk pasukan perdana menteri di Jabatan Perdana Menteri menunjukkan beliau beberapa contoh positif di media sosial ini supaya beliau dapat tonjolkan naratif positif ini.
ONG KIAN MING ialah bekas Ahli Parlimen Bangi.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai