Skip to main
Logo Malaysiakini

Yusoff Rawther didakwa lagi, miliki dua pistol palsu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Muhammed Yusoff Rawther, yang sedang menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas tuduhan serangan seksual sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan, bulan lalu. 

Bekas pembantu penyelidik Anwar yang berusia  31 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret S Mageswary.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran Kondominium Sanada Kiara, Jalan Bukit Kiara di Kuala Lumpur  pada jaml 9.25 pagi, 6 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Nurmustanir Md Nor yang mewakili Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan anak guamnya sebelum ini didakwa mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, bulan lalu.

Kesalahan mengikut seksyen itu tidak boleh dijamin.

Mageswary kemudian memutuskan  tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh selain menetapkan 12 November ini bagi serahan dokumen.

Pada 12 September lalu, dia didakwa atas kesalahan mengedar 305g ganja dan jika sabit kesalahan dia berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Pada 6 September, Yusoff ditahan reman kerana disyaki memiliki senjata api dan dadah.

Menurut laporan, polis menemui dua pucuk senjata api dan 305g dadah di dalam kenderaan yang dinaikinya.

Terdahulu, seorang lagi peguam yang mewakili Yusoff, Rafique Rashid mendakwa penahanan anak guamnya melibatkan individu berkaitan politik yang mengada-adakan dan meletakkan barang bukti.

Rafique mendakwa penahanan anak guamnya melibatkan individu berkaitan politik yang mengada-adakan dan meletakkan barang bukti.

Saman pemula

Pada 1 Oktober lalu, Yusoff memfailkan saman pemula untuk mendapatkan perintah mengisytiharkan Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menghalangnya daripada diberikan jaminan, sebagai tidak berperlembagaan.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Yusoff mendapatkan perintah memaksa polis mendedahkan keputusan ujian poligrafnya pada Disember 2019.

Bekas pembantu penyelidik itu mendapat perhatian pada sidang media 4 Disember 2019 apabila dia memaklumkan akuan bersumpahnya mengandungi dakwaan serangan seksual terhadap Anwar.

Pada 17 Disember 2019, plaintif pergi ke Bukit Aman untuk menjalani ujian poligraf berhubung siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksualnya terhadap Anwar.

Pada 2021, Yusoff memulakan tindakan sivil berhubung dakwaan Anwar menyerangnya secara seksual di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.

Pada 14 Januari 2020, Pejabat Peguam Negara mengumumkan tiada bukti untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah berhubung dakwaan tersebut.

Yusoff kemudian memfailkan saman sivil terhadap Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.