Bunuh Altantuya: Hukuman gantung Azilah diganti 40 tahun penjara
Mahkamah Persekutuan hari melepaskan pembunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, bekas cif inspektor Azilah Hadri daripada hukuman gantung sampai mati.
Sebaliknya, hukuman mati bekas komando polis itu digantikan dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Altantuya, 28, dibunuh di kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor, pada Oktober 2006, iaitu kira-kira 18 tahun lalu. Mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Azilah, 48, membuat permohonan itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lepas.
Keputusan sebulat suara panel hakim berhubung permohonan semakan hukuman mati itu dibacakan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
"Permohonan pemohon dibenarkan, hukuman gantung ditolak dan digantikan dengan pemenjaraan 40 tahun dan 12 sebatan," katanya yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Nordin Hassan.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Terdahulu, panel terbabit turut dimaklumkan bahawa bapa mangsa, Dr Shariibuu Setev turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.
Sokongan itu turut dipanjangkan kepada seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar.
Bagaimanapun difahamkan, Sirul tidak memfailkan sebarang permohonan semakan.
Azilah telah disabitkan pada 2009 bersama Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.
Sementara itu, penganalisis politik Abdul Razak Baginda telah dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut oleh mahkamah yang sama.
Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013. Bagaimanapun, pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai