Skip to main
Logo Malaysiakini

Imaginasi tanpa batas: Kisah tiga kartunis autistik berbakat besar

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Dilahirkan sebagai autistik bukan penghalang untuk golongan itu berdikari, malah sesetengah mereka dianugerahkan bakat luar biasa melebihi kemampuan orang yang dianggap normal.

Cheng Xiang Jian, 30, dan adiknya, Cheng Xiang Wei, 27, misalnya merupakan dua pemuda autistik yang memiliki bakat besar dalam bidang seni lukisan.

Adik-beradik ini menghadapi kesukaran dalam pertuturan, oleh itu sesi temu bual bersama Malaysiakini dijalankan dengan bantuan ibu mereka, Khoo Soh Lien, 68.

Khoo Soh Lien menceritakan bahawa anak-anaknya didiagnosis dengan autisme sejak mereka berusia tiga tahun.

Namun, di sebalik cabaran itu, Khoo menyatakan bahawa Xiang Jian dan Xiang Wei memiliki bakat unik dalam bidang seni lukisan, khususnya dalam melukis watak kartun kegemaran mereka.

“Cheng Xiang Jian suka melukis watak-watak seperti Mickey Mouse dan Sonic, manakala Cheng Xiang Wei pula gemar melukis watak seperti Donald Duck dan Monkey,” kata Khoo.

Baru-baru ini, kedua-dua beradik itu menyertai pertandingan mewarna di Balai Seni Negara.

“Cheng Xiang Jian memenangi hadiah saguhati sebanyak RM100 dalam kategori khas pertandingan mewarna Seni Lukis di Merdeka SukaCipta di Balai Seni Negara, manakala lukisan Cheng Xiang Wei dipilih untuk dimuatkan dalam kalendar bulan November 2017,” tambah Khoo.

Khoo turut menyatakan bahawa anak-anaknya berbakat dalam melukis kartun menggunakan pelbagai medium seperti pensil, krayon, pensil warna, dan akrilik.

“Mereka akan meluahkan kegembiraan melalui lukisan kartun-kartun kegemaran mereka,” tambahnya.

Selain berbakat dalam bidang lukisan, Khoo juga menceritakan anak-anaknya mempunyai kemahiran lain, termasuk membuat kraftangan.

Kedua-dua mereka bekerja di United Voice, sebuah NGO pertama yang dikendalikan oleh orang kurang upaya pembelajaran.

“Cheng Xiang Wei bekerja di United Voice dan mahir menjahit serta membuat kraftangan seperti keychain burung hantu, beg nasi lemak boleh guna semula, dan scrunchies. Dia juga membuat kain Saori berbentuk burung, rama-rama, dan kucing, serta mahir menjahit pada baju dan beg tote. Selain itu, dia juga pandai memasak.

“Cheng Xiang Jian pula mahir dalam penggunaan komputer dan menjahit menggunakan mesin sulam digital. Dia tahu memasang benang, memilih gambar dan warna benang untuk disulam, serta menganyam kain Saori Jepun. Dia juga bekerja di United Voice dan pandai membuat biskut,” tambahnya.

Khoo turut berkongsi bahawa kedua-dua adik-beradik ini pernah mengikuti kelas seni di Yayasan Nanyang Press Hidden Star dari tahun 2014 hingga 2017.

Selain itu mereka juga pernah menyertai Absolute Thai Art Competition pada Julai 2020 dan masing-masing memenangi hadiah saguhati sebanyak RM200.

Khoo menambah anak-anaknya boleh berdikari dan mampu menguruskan diri sendiri. Malah meskipun kedua-duanya hiperaktif, mereka tidak agresif atau mengganggu orang lain.

Khoo mengakui pada awalnya menghadapi kesukaran kerana tidak mengetahui cara yang betul menjaga anak-anak autistik, namun akhirnya dia belajar cara yang sesuai membesarkan mereka.

Dalam sesi temu bual bersama Malaysiakini, Khoo berkata dia mengguna pakai empat prinsip utama dalam mendidik anak-anaknya: menerima takdir (acceptance), menunjukkan kasih sayang (love), menggunakan kata-kata positif (positive words), dan sentiasa memuji usaha mereka.

Melukis dengan imaginasi

Seorang lagi pemuda autistik berbakat dalam bidang lukisan ialah John Hananiah Ravi, 25.

Ibunya, Kunasundary Subrayan, 54, dari Puchong, Selangor menceritakan John didiagnosis dengan autisme sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan akibat keretakan di tengkorak kepala.

“John mengalami kesukaran dalam pertuturan dan menunjukkan ciri-ciri autisme seperti mengeluarkan bunyi, menyusun barang-barang, dan hiperaktif,” kata Kunasundary.

John mula menunjukkan minat dalam seni lukisan apabila dia melakar di atas kertas kosong, dan kini dia mahir melukis watak kartun kegemarannya seperti Mickey Mouse, Little Pony, dan Digimon di atas kanvas.

Ibunya turut menyatakan bahawa John mempunyai imaginasi tersendiri dan sering menulis cerita berdasarkan watak kartun yang dilukisnya.

“Minatnya dalam seni lukisan sangat membanggakan saya, dan saya menganggap ini sebagai anugerah Tuhan,” kata Kunasundary.

John menggunakan pelbagai medium seni seperti cat air akrilik, krayon, dan pensil warna.

Menurut ibunya, melukis kartun memberikan ketenangan kepada John.

Selain berbakat dalam seni lukisan, John juga bekerja di Acacia Sheltered Workshop di Persatuan Kebajikan Acacia, di mana dia membungkus sos cili dan gelang untuk hospital.

“Di rumah, John membuat kuih siput, memasak makanan kegemarannya, dan menyediakan teh untuk abangnya.

“Saya sering membawanya keluar ke majlis-majlis, meskipun ada yang mengata kerana dia mengeluarkan bunyi-bunyi tertentu. Saya tidak peduli, malah saya tetap memberi dia motivasi apabila dia tidak menang dalam pertandingan,” jelas Kunasundary.

John juga pernah memenangi pertandingan seni dan menyertai pertandingan Paralimpik.

Lebih membanggakan, John menjana pendapatan melalui jualan lukisannya.

Kunasundary menasihatkan ibu bapa yang memiliki anak autistik agar tidak mempedulikan pendapat orang sekeliling, selain tidak perlu berasa malu atau berasa rendah diri, serta sentiasa menyokong bakat anak-anak mereka.

Ketiga-tiga pemuda autistik itu bakal terlibat dalam Festival Kartun Gen Z, sebuah acara yang memupuk nilai muhibah dan perpaduan di kalangan generasi muda melalui seni lukisan kartun.

Festival ini turut disokong Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional Berhad dan akan berlangsung pada 19 dan 20 Oktober di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.