Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke: Tiada k'jaan sempurna, MRT S'pura pun pernah tergendala

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kerajaan Madani tidak sempurna namun tiada kerajaan di dunia ini yang benar-benar sempurna .

Dia memberikan contoh Singapura yang dikenali dengan kecekapan juga menghadapi masalah seperti gangguan MRT.

"Tiada kerajaan yang mampu memenuhi sepenuhnya permintaan dan jangkaan semua orang. Kita berdepan pelbagai cabaran namun setiap kerajaan menghadapi cabaran.

"Walaupun Singapura begitu maju, mereka juga berdepan cabaran.

"MRT Singapura juga pernah tergendala. Bukan MRT Kuala Lumpur saja yang terhenti di udara, MRT Singapura pun pernah begitu juga," katanya ketika berucap pada konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP berkata memandangkan kerajaan di seluruh dunia berdepan cabaran maka kerajaan Madani perlu berani berdepan cabaran ini.

Walaupun suasana politik hari ini berbeza dengan masa lalu, Loke berkata DAP tidak melupakan prinsip dan matlamat mereka, serta akan terus berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.

Loke turut menyebut Malaysia secara rasmi menjadi pengerusi Asean, yang akan meletakkan Kuala Lumpur menjadi tumpuan antarabangsa, dengan beberapa persidangan antarabangsa akan diadakan di ibu kota.

"Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan utama tahun depan, dengan banyak mesyuarat peringkat tinggi diadakan di sini.

"Akan ada dua Sidang Kemuncak Pemimpin Asean, satu pada Mei dan satu lagi pada November... bersama dengan Asean+3 (China, Korea Selatan, Jepun) dan pemimpin negara-negara Timur Tengah juga akan datang ke Kuala Lumpur.

"Kita bukan sekadar mahu menjadi tuan rumah; kita mahu mengambil peluang ini untuk meningkatkan kedudukan antarabangsa Malaysia dan memastikan kemakmuran ekonomi Asean berterusan," katanya.

Loke menjelaskan terdapat keperluan untuk agenda yang lebih luas bagi mengintegrasikan ekonomi Asean agar blok ini dapat memanfaatkan populasi seramai 600 juta orang untuk mewujudkan pasaran yang lebih besar.

[Baca berita asal]