Polis kesan 172 pangkalan dadah di Sungai Golok
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 172 pangkalan haram berkaitan penyeludupan dadah di sepanjang Sungai Golok, Thailand-Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata Pasir Mas dan Tumpat merekodkan bilangan pangkalan haram paling tinggi dan aktif.
Dia berkata jumlah pangkalan itu sentiasa berubah berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggota polis di sempadan.
“Sebagai contoh, jika kita tumpu di pangkalan haram di kawasan ini (Pasir Mas dan Tumpat) yang ditutup sementara dan mereka (ahli sindiket) akan membuka pangkalan haram lain,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Khaw berkata Pasir Mas dan Tumpat merupakan kawasan ‘panas’ memandangkan bersempadan dengan Thailand dan diberikan tumpuan yang lebih oleh PDRM bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah.
Menurutnya, PDRM juga memperketat kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan bekalan dadah.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kemasukan dadah jenis fentanyl di negara ini, Khaw mengesahkan tiada sebarang kemasukan dadah jenis berkenaan dikesan dalam negara setakat ini.
"Hasil risikan JSJN dan maklumat juga mendapati dadah berkenaan tidak wujud dalam negara dan rampasan juga tiada setakat ini," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai