Skip to main
Logo Malaysiakini

KDN tumpu selesaikan status pemastautin tetap lahir di Malaysia

Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan komitmen untuk menangani isu berkaitan status kewarganegaraan lebih 30,000 yang berstatus pemastautin yang lahir di Malaysia.

Bercakap dengan pemberita di Parlimen, Saifuddin berkata tiga golongan yang berstatus tersebut - individu yang diambil sebagai anak angkat, individu yang lahir di sini sebelum 1957, dan individu yang lahir sebelum penubuhan Malaysia pada 1963.

Dia berkata Kementerian Dalam Negeri juga telah memuktamadkan garis panduan untuk permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A dan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan masukkan penjelasan lanjut dalam (ucapan) penggulungan (untuk sidang Dewan Rakyat) esok,” katanya.

Terdahulu hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata rang undang pindaan Perlembagaan yang dibaca untuk kali kedua akan dibahaskan oleh 59 ahli Parlimen serta diundi esok.

Saifuddin berkata berdasarkan perbahasan setakat ini, ada yang “mencampur aduk” dua kumpulan berstatus pemastautin tetap di Malaysia - yang memiliki kerakyatan negara lain dan yang tiada kerakyatan negara lain.

“Saya nak sebut yang jika pemastautin tetap yang lahir di sini jumlahnya kira-kira 30,000 orang, maka pemastautin tetap yang lahir di luar negara tujuh kali ganda lebih ramai.

“Menurut Perlembagaan sekarang, anak-anak mereka (yang lahir di Malaysia) secara automatik berstatus warganegara dan itu akan membawa kepada suatu keadan yang tidak seimbang,” kata Saifuddin.

Dia berkata ibu bapa perlu mendaftarkan anak mereka di kedutaan negara masing-masing di sini.

“Oleh itu, fokus Kementerian Dalam Negeri adalah menguruskan lebih 30,000 orang ini (yang berstatus pemastautin tetap dan lahir di Malaysia), dengan kira-kira 10,000 yang telah memohon (kewarganegaraan),” katanya lagi.

Sementara itu, Saifuddin berkata Orang Asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak terkesan dengan cadangan pindangan Perlembagaan ini, tidak seperti kebimbangan yang dibangkitkan sejumlah pihak.

Katanya, status mereka sebagai warga Malaysia berdasarkan undang-undang dijamin di bawah Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada dokumen yang diperlukan oleh undang-undang itu.

Pada masa ini, Jadual Kedua Bahagian II menyatakan individu yang lahir di Malaysia dan salah seorang ibu atau bapanya adalah warga Malaysia, atau individu yang “bermastautin secara tetap” di Malaysia secara automatik mendapat status kewarganegaraan.

Cadangan pindaan Perlembagaan ini bertujuan membuang istilah “bermastautin secara tetap”, agar individu yang lahir di bawah keadaan itu perlu mendaftar untuk kewarganegaraan.

[Baca berita asal]