Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan Kristian, Taoism dirujuk sebelum pinda RUU 355, kata Zulkifli

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan
  • Editor: Berita ini pada asalnya melaporkan bahawa kumpulan bukan Islam turut dirujuk dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun, undang-undang sebenar adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). Pembetulan telah dibuat dan kesilapan adalah dikesali.


PARLIMEN | Kerajaan mengadakan banyak sesi libat urus, termasuk dengan kumpulan bukan Islam, bagi memastikan pandangan pelbagai pihak diambil kira dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata antara kumpulan bukan Islam yang terlibat akan dalam perbincangan adalah Persekutuan Kristian Malaysia, Persatuan Ajaran Taoism Malaysia dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kerajaan Sarawak.

“Ini membuktikan kita mengambil kira untuk memberi penerangan dan pencerahan dan ia mesti bersifat inklusif dan merangkumi keseluruhan masyarakat.

“Insya-Allah kita akan teruskan lagi sesi libat urus agar semua memahami usaha ini bukan untuk politik, tetapi untuk memartabat dan mengangkat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkenaan sejauh mana usaha untuk berhubung dengan kumpulan bukan Islam yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan pindaan RUU itu.

“Polemik RUU355 sudah lama berlaku, ada banyak masalah. Apa advokasi terhadap golongan bukan Islam sebab mereka nak lihat (perkara itu) juga. Setakat mana (usaha dilakukan)?” soalnya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya turut mengadakan libat urus antaranya dengan Pejabat Peguam Negara, Ketua Hakim Syarie, pendakwa raya dan majlis agama Islam negeri.

“Semasa konvensyen memartabatkan perundangan syariah di Malaysia pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pindaan pada akta ini hendaklah dibuat dengan teliti agar ia menjadi satu dokumen yang kukuh dan disepakati semua negeri, mufti dan ulama.

“Pada 30 Julai lalu, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Nazrin Shah bertitah agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi taklimat mengenai cadangan pindaan kepada akta ini bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan majlis agama Islam negeri terlebih dulu,” katanya lagi.

Zulkifli juga berkata satu jawatankuasa khas juga akan menilai cadangan pindaan yang dibuat bagi memastikan proses penilaian menyeluruh sebelum ia dirangka.