Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU tahanan di rumah akan dibentang di Parlimen tahun depan - Saifuddin

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Rang Undang-Undang (RUU) baru berkaitan hukuman tahanan di rumah bakal dibentangkan di Parlimen pada tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan RUU berkenaan.

“Ketika ini RUU berkaitan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Datuk Seri Nordin Muhamad) sebagai pemegang taruh.

“Selepas RUU itu digubal kita akan membentangkan kepada Kabinet sebelum dibentangkan kepada Parlimen dan jangkaannya pada tahun depan,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung di Bukit Tiu di Machang, Kelantan hari ini.

Saifuddin berkata RUU berkaitan tahanan di rumah tidak melibatkan pindaan Akta Penjara sebaliknya RUU baharu diwujudkan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 dilapor berkata kerajaan akan menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu. 

Hukuman berkenaan memperuntukkan pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Saifuddin berkata pihaknya akan meningkatkan potensi Kampung Tiu dan keupayaan masyarakatnya melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung ini.

“Program ini akan melibatkan golongan belia, penduduk kampung, pelajar sekolah, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia turut merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah agama, sukaneka rakyat, persembahan dikir barat, penyerahan kit peralatan Skim Rukun Tetangga, sumbangan dan bantuan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan, NGO dan institusi bank.

Saifuddin berkata antara agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Program ini dijangka meningkatkan potensi Kampung Bukit Tiu selaras skop program Santuni Madani yang menyasarkan matlamat pembangunan mampan setempat,” katanya.

-Bernama