Skip to main
Logo Malaysiakini

LAPANG DADA | ‘Kuota patut ambil kira faktor kekurangan upaya, gender’

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Sistem kuota pendidikan berdasarkan kaum perlu diperluaskan lagi untuk merangkumi faktor-faktor lain, menurut panelis dalam rancangan bual bicara KiniTV, Lapang Dada.

Namun ada juga panelis yang berpendapat sistem sedia ada perlu dikekalkan.

Dalam episod bertajuk “Memikirkan Semula Sistem Kuota Pendidikan”, enam panelis membincangkan jika sistem kuota dalam pendidikan di Malaysia harus beralih kepada sistem berasaskan merit.

Timbalan pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) Zaharom Nain berkata terdapat ketidakseimbangan dalam sistem tersebut yang tidak mengambil kira faktor geografi, gender dan kekurangan upaya.

“Saya rasa masalah kita ialah kita terlalu menumpukan soal kaum semata-mata.

"Kuota sepatutnya mengambil kira yang di Malaysia, ada kecacatan fizikal dan mental, gender, geografi dan sebagainya," kata profesor komunikasi dan pengajian media Universiti Nottingham itu.

Seorang lagi panelis, peguam Aidil Khalid sebahagiannya setuju dengan Zaharom namun mengingatkan meritokrasi bukanlah jawapan kerana ia juga tidak mengambil kira tahap akses rakyat kepada sumber, justeru boleh melebarkan lagi jurang ketidaksamaan.

Merit sebagai asas

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Wafiyuddin Al-Awal bersetuju dengan pandangan itu, dan berkata peralihan kepada sistem berdasarkan merit boleh mengundang bahaya.

Aidil pula menambah bahawa ia bercanggah dengan sistem sedia ada kerana kuota tetap boleh diisi oleh mereka yang memerlukan.

Dia membangkitkan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak yang berdepan masalah capaian internet, dengan ada yang perlu memanjat pokok untuk mendapatkannya.

“Sama seperti orang Cina, India dan yang lain - mereka juga boleh dapat (tempat).

"Bagi saya meritokrasi berasaskan kaum ini tidak menafikan dan tidak mengetepikan keperluan-keperluan yang disebutkan," kata Aidil yang juga naib presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Kontrak sosial

Wafiyuddin berkata dia terbuka dengan pelaksanaan dasar meritokrasi di masa akan datang selagi ia tidak tertakluk kepada peraturan yang terlalu ketat.

“Kita sentiasa perlu ambil kira konsep keadilan dalam isu sosioekonomi antara kaum,” katanya.

Sekretariat Gabungan NGO Belia Muslim Faizuddin Zai pula menekankan kepentingan identiti nasional, yang memberikan golongan bumiputera hak istimewa.

Dia membangkitkan kerelevanan kontrak sosial, iaitu persetujuan tak bertulis yang dicapai antara orang Melayu dengan kaum lain ketika merdeka, yang memberi hak itu kepada golongan bumiputera.

Bual bicara ini, yang terbahagi kepada dua episod, disiarkan di laman Youtube rasmi KiniTV.