Skip to main
Logo Malaysiakini

Perincian bantuan Sara dan STR dalam Belanjawan 2025

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Kerajaan memberikan perincian Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Di bawah peruntukan baru ini, 5.4 juta penerima STR kategori isi rumah dan warga emas akan menerima Sara sehingga RM100 sebulan, yang akan diagihkan melalui MyKAD bermula April 2025.

Jumlah maksimum yang diterima oleh isi rumah meningkat kepada RM4,600.

Sebanyak 3.1 juta isi rumah kategori pendapatan bulanan RM2,500 dan ke bawah dijangka akan menerima bantuan STR dan Sara maksimum RM3,400 (bergantung bilangan anak dalam tanggungan).

Terdapat satu juta isi rumah dengan pendapatan RM2,501-RM5,000. Untuk kategori ini, STR dan Sara maksimum yang boleh diterima mereka adalah RM2,150.

Seramai 1.3 juta warga emas bujang dengan pendapatan bulanan RM5,000 ke bawah mempunyai siling jumlah STR dan Sara sebanyak RM1,050, manakala 3.4 juta penerima kategori bujang berumur 21-59 tahun dengan pendapatan bulanan RM2,500 dan ke bawah layak menerima bantuan RM600.

Selain itu, mereka yang rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar boleh menerima bantuan tambahan RM1,200 setahun, yang terpakai untuk semua kategori di atas.

Langkah untuk tambah baik pengurusan

Anwar dalam pembentangannya berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk menambah baik pengurusan pengagihan, menangani ketidakcekapan dan mengelakkan ketirisan, termasuk melalui rasionalisasi subsidi dan memperluaskan asas perolehan kerajaan.

Dia berkata untuk 2025, kerajaan akan memperuntukkan kenaikan terbesar untuk STR dan Sara, dengan jumlah RM13 bilion berbanding RM10 bilion untuk tahun ini.

"Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima tahun ini," katanya.