Fuziah pesan ahli PKR: Terus perjuang reformasi, bukan kejar jawatan
WAWANCARA | Anggota PKR perlu tetap berpegang kepada pemikiran reformasi, apatah lagi di saat PKR kini menjadi parti utama dalam kerajaan persekutuan, menurut setiausaha agungnya yang baru, Fuziah Salleh.
Mengakui ada anggota PKR yang memiliki jangkaan berbeza susulan kemenangan dalam PRU15, Fuziah membangkitkan keperluan menguruskan sejumlah “persepsi” yang menyimpang daripada prinsip parti itu.
“Mungkin ada yang ingat sekarang kita jadi kerajaan, semua orang perlu ada jawatan.
“Mungkin ada yang ingat sekarang kita jadi kerajaan, kita tak perlu berkorban macam dulu…parti patut sudah terjaga.
“Jadi ada banyak jangkaan…perlu perjelaskan kembali atau kukuhkan kembali agenda reformasi (di kalangan anggota parti),” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.
Wawancara ini berikutan pelantikannya sebagai setiausaha agung PKR yang baru bulan lalu. Fuziah menggantikan Saifuddin Nasution Ismail bagi menumpukan perhatiannya selaku setiausaha agung PH.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjawab soalan berhubung bagaimana anggota PKR menanggapi kejayaan parti selepas sekali lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.
Fuziah membangkitkan Deklarasi Permatang Pauh, iaitu agenda reformasi yang pertama kali diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998 yang menjadi asas kepada penubuhan parti itu.
Antara lain, deklarasi itu menyatakan komitmen untuk memperjuangkan keadilan untuk semua, serta melawan rasuah dan salah guna kuasa.
Bagi mereka yang menyertai PKR demi jawatan, Fuziah berkata mereka “parti yang salah”.
“Parti ini tidak ditubuhkan untuk itu. Ia ditubuhkan untuk laksana agenda reformasi.
“Kita tak harus anggap (oleh kerana) kita sudah jadi kerajaan, maka segala-galanya berubah. Ini harus diperbetulkan,” katanya lagi.
Fuziah mengimbas kembali tempoh-tempoh awal penubuhan PKR. Ketika itu, katanya, ada anggota parti yang tidak cukup wang untuk membeli tiket bas bagi menghadiri kongres tahunan.
Dia juga berkata masih ingat ada anggota yang datang dari Kedah dan membawa produk seperti ikan masin untuk dijual di kongres untuk dibuat membayar tambang balik.
“Saya tak harap (mereka masih menghadapi) perkara sama. Kita sudah lebih selesa dan ada sedikit dana untuk uruskan perjalan kongres.
“Tapi tak wajar untuk kita bandingkan dengan parti lain dan mengharapkan keselesaan yang luar biasa. Itu bukan PKR,” katanya.
Sumbangan parti
Berkenaan kongres tahun ini, yang akan diadakan di Johor pada Disember depan, Fuziah berkata ia antaranya akan melihat sejauh mana sumbangan parti setakat ini.
Sempena ulang tahun ke-25 PKR tahun ini, Fuziah berkata parti perlu memastikan ia akan terus relevan untuk 25 tahun lagi.
“(Agenda utama kongres) tentu sekali berkenaan bagaimana nak meneruskan agenda Madani. Sebab parti dah wujud 25 tahun, jadi bagaimana boleh pastikan parti terus wujud untuk 25 tahun lagi.
“(Perlu memastikan) bagaimana parti dapat jadi tonggak kekuatan Perdana Menteri sendiri. Itu agenda utama. Kita perlu lihat kembali segala yang kita sumbangkan melalui parti, dan jika ia memadai untuk presiden kita meneruskan agenda reformasi.
“Sebab reformasi adalah hasrat setiap anggota PKR dan sekarang kita dah sampai fasa mereformasi negara,” katanya.
Pemilihan parti
Ditanya berkenaan pemilihan PKR, bekas ahli Parlimen Kuantan itu berkata satu jawatankuasa khas sedang menilai untuk tetap mengadakan pemilihan pada tahun depan atau menangguhkannya sehingga selepas PRU akan datang.
Menurut Fuziah, jawatankuasa itu telah mengadakan sesi libat urus dengan kepimpinan di pelbagai peringkat bagi mengenal pasti pilihan yang ada, dan menilai baik buruknya.
Ia juga sedang menilai keperluan memperkenalkan perubahan dalam sistem pemilihan, katanya lagi.
Dia berkata jawatankuasa itu dijangka menyerahkan laporan tidak lama lagi dan kepimpinan pusat PKR perlu membuat keputusan semasa kongres tahunan Disember ini.
“Kita kena putuskan dalam masa terdekat…sebab itu jawatankuasa sedang bekerja keras dan akan laporkan kepada saya dalam masa terdekat.
“Katakan (diputuskan) untuk buat pemilihan (sebelum PRU), tapi nak ubah sedikit cara pemilihan dijalankan, ia perlu pindaan perlembagaan parti dan itu perlu dibawa dalam satu kongres khas,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai