Skip to main
Logo Malaysiakini

Hukuman pada Wan Fayhsal lebih keras dari kad merah - PN

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

PARLIMEN | Ketua whip PN Takiyuddin Hassan mempersoalkan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul yang melarang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal - ahli Parlimen Machang yang masih digantung - daripada berada di galeri awam.

Ia susulan surat Johari pada Selasa lalu yang memberitahu Wan Ahmad Fayhsal yang dia tidak dibenarkan berada di galeri awam atau bilik untuk pegawai kerajaan yang bertugas di Dewan Rakyat, kerana masih menjalani penggantungan mengikut Peraturan Mesyuarat 44(5).

Takiyuddin (PN-Kota Bharu) berkata peraturan itu hanya menyatakan ahli Parlimen yang digantung tidak boleh berada dalam mesyuarat atau menyertai perbahasan.

Galeri awam pula, katanya lagi, adalah ruang untuk mana-mana orang awam mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat.

Dia juga membandingkannya dengan perlawanan bola sepak, di mana pemain yang dilayangkan kad merah masih boleh mengikuti perlawanan seterusnya di kawasan penonton.

“Peraturan jelas nyatakan (ahli Parlimen digantung) tak boleh duduk dalam mesyuarat, tak boleh ambil bahagian sehingga tempoh penggantungan tamat.

“Bagaimana dia boleh ambil bahagian kalau duduk di galeri awam? Boleh dia bercakap dan bertanya di situ? Tak boleh.

“Apakah ini satu lagi tindakan kerajaan Madani untuk mengikis peranan yang boleh dimainkan pembangkang? Hari ini saya minta sangat yang dipertua buat satu petua - apakah (surat) berdasarkan tafsiran (Johari) sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Takiyuddin membangkitkan isu tersebut ketika sidang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Ramli Mohd Nor.

Menjawab apa yang dibangkitkan, Ramli berkata berdasarkan tafsirannya, Peraturan Mesyuarat tidak menyebut di mana ahli Parlimen yang digantung boleh duduk dan justeru ia tertakluk kepada budi bicara yang dipertua.

Ramli juga berkata dia tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut kerana Johari mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan menyarankan Takiyuddin untuk membangkitkan isu tersebut ketika Johari mempengerusikan sidang nanti.