Nafas nafi gantung tugas pengurus besar Faris Arriffin
Nota editor: Laporan ini dikemas kini dengan kenyataan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang menafikan menggantung tugas pengurus besarnya.
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menafikan satu kenyataan yang menyebut pertubuhan itu menggantung tugas pengurus besarnya, Muhammad Faris Arriffin atas dakwaan kesalahan tata kelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.
"Nafas ingin menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan penggantungan Pengurus Besar Nafas.
"Kenyataan berkenaan didapati mula tersebar sejak Selasa, 22 Oktober 2024 bukan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Nafas.
"Sehubungan itu, Nafas menegaskan bahawa maklumat yang disiarkan di dalam kenyataan akhbar berkenaan tidak benar dan tidak disahkan oleh Nafas," menurut kenyataan pertubuhan itu hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Nafas itu tidak menjelaskan lanjut dakwaan tindakan terhadap Faris Arriffin.
Terdahulu, semalam beberapa portal melaporkan kenyataan barisan pertubuhan yang diketuai pengerusi Zamri Yaakob bertindak menggantung Faris Arriffin.
Kenyataan yang dinafikan Nafas hari ini tersebar selepas mesyuarat AJP pada 22 Oktober memutuskan untuk menggantung tugas pengurus Besar.
Kenyataan “ahli jemaah pengarah” itu menambah Nafas akan membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.
Disebalik penafian Nafas, FMT hari ini melaporkan Muhammad Faris yang juga ketua pemuda Amanah Wilayah Persekutuan berkata tuduhan ke atasnya dibuat sebelum proses semakan dalaman.
"Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini (penggantungnya) sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini," katanya.
Nafas sebuah entiti di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diterajui oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai