Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kebebasan akademik dan fenomena pak turut 

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Fenomena pak turut pula bukan keganjilan dalam bidang akademia

Menteri pendidikan tinggi berkongsi pendapat di Facebook pada 21 Oktober berkenaan dengan kebebasan akademik di Malaysia. 

Antara lain, menteri meminta pihak universiti menghormati kebebasan akademik tenaga pengajar dan juga menegaskan bahawa seorang sarjana dari universiti tidak seharusnya menjadi pak turut semata-mata.  

Pendapat menteri ini ternyata sesuatu yang agak mengejutkan. Selama ini kebebasan akademik tidak pernah dijadikan isu penting oleh kebanyakan persatuan yang mewakili tenaga pensyarah di universiti-universiti di Malaysia.  

Malah beberapa tahun dahulu seorang penasihat undang-undang di sebuah universiti menafikan kepentingan kebebasan akademik di universitinya atas alasan pensyarah tertakluk kepada kontrak pekerjaan yang termaterai.

Pandangan penasihat undang-undang ini memang aneh. Dari segi undang-undang kontrak, seksyen 24(e) Akta Kontrak menyatakan, sebarang kontrak yang yang bertentangan dengan polisi awam adalah tidak sah dan terbatal. 

Kalau pun ingin menggunakan prinsip skop pekerjaan bagi penjawat awam, tenaga pensyarah di universiti bukanlah termaktub bawah definisi penjawat awam.  

Fenomena pak turut pula bukan keganjilan dalam bidang akademia kerana arwah Prof Syed Hussein Alatas sendiri mengutuk spesis ini yang dia gelar sebagai “professor kangkung”.

Namun di tengah-tengah kegembiraan menyahut saranan menteri berkenaan berkaitan kebebasan akademik, kita perlulah berwaspada. Pandangan seseorang ahli akademik perlulah berdasarkan keilmuan dan kesarjanaan yang tulen.  

Akhir-akhir ini terdapat ramai memberikan pendapat yang bertentangan dengan tradisi dan semangat kesarjanaan terutamanya bila melibatkan perkara-perkara “3R” tanpa mengira bidang kesarjanaan sendiri. 

Ada yang bercakap tanpa sebarang ilmu dan fakta. Ada yang bercakap tanpa kupasan yang menyeluruh dan tidak seimbang. Kebebasan akademik perlu sentiasa dipantau oleh warga akademik sendiri terutamanya di universiti tersebut.  

Saling pantau, nasihati

Maka ahli akademik perlu saling memantau dan menasihati antara satu sama lain. Sebarang kupasan/ceramah/tulisan mana-mana akademik yang salah, lompang, syok sendiri ataupun sekadar membodek dan mengampu perlu diambil tindakan oleh warga akademik sendiri.

Universiti-universiti mempunyai struktur birokrasi sendiri dan di sinilah amat menarik untuk melihat bagaimana “kebebasan akademik”  di universiti, sama ada dihormati atau diperleceh.  

Sekiranya  kebebasan akademik dikekang, apakah penyelesaian bagi pensyarah yang ditindas/dizalimi?  Jalan yang paling mudah sudah tentulah membuat aduan ke Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri.  

Prosedur yang terlibat adalah mengisi aduan di laman web biro tersebut.  

Selepas aduan dibuat, pihak biro biasanya akan mengarahkan pihak universiti untuk memberikan maklum balas terhadap aduan tersebut. Maka kebiasaannya pihak unit integriti universiti tersebut akan menjalankan siasatan.  

Disebabkan unit integriti sebahagian dari struktur birokrasi universiti tersebut, maka timbul persoalan  adakah siasatan dijalankan dengan telus dan apakah maklum balas yang diberi oleh universiti ke pihak Biro Pengaduan Awam adalah benar, tulus dan ikhlas. 

Sebagai salah satu cabang dalam sistem pentadbiran, terdapat mereka yang beranggapan bahawa Unit Integriti mempunyai budi bicara sendiri, lantaran itu keputusan dan tindakan yang diambil oleh unit itu tidak perlu dipersoal.  

Ada juga yang beranggapan bahawa yang paling penting bagi unit integriti adalah  memastikan mereka mengambil tindakan mengikut prosedur.  Semua anggapan ini merupakan pandangan berdasarkan undang-undang pentadbiran yang lama.  

Prinsip undang-undang pentadbiran terkini membenarkan keputusan dari mana-mana jabatan kerajaan dicabar atas alasan:  (i) badan itu bertindak tanpa bidang kuasa; atau (ii) badan itu melampaui bidang kuasanya; atau (iii) badan itu telah gagal mematuhi rukun keadilan asasi dalam kes yang mana rukun tersebut terpakai; atau (iv) terdapat kesilapan undang-undang atas rekod atau keputusan itu tidak munasabah” (PCM Bina Sdn Bhd lwn Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor [2015] MLJU 720)  

Mahkamah boleh merungkai kembali mana-mana keputusan yang dibuat oleh mana-mana jabatan kerajaan sekiranya tidak mengikuti prinsip-prinsip undang-undang pentadbiran tersebut. 

Berhubung dengan undang-undang pentadbiran juga, ada yang beranggapan bahawa keputusan dan tindakan sebuah jabatan tidak boleh dicabar kerana ia berdasarkan polisi. 

Pandangan ini memang tidak diterima kerana dari segi undang-undang pentadbiran, polisi tidak  lebih tinggi daripada undang-undang (Lee Bak Chui & Ors lawan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman & Ors [2024] MLJU 184).  

Penting bagi pihak kerajaan memastikan pihak terlibat dalam pengurusan integriti di universiti mempunyai pengetahuan undang-undang yang secukupnya. 

Universiti bukan sekadar menjadi kilang untuk menghasilkan tenaga kerja, para akademik juga bukanlah sekadar mengisi KPI dalam mengejar kenaikan pangkat semata-mata. 

Kakitangan universiti bukanlah sekadar kader parti dan pemimpin politik.   

Sekiranya nilai dan falsafah universiti ini dikesampingkan, maka tidak perlulah berbangga dengan ijazah yang diperoleh dari universiti tersebut.


MOHD NAZIM GANTI SHAARI adalah warga fakulti undang-undang di sebuah universiti awam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.