Kes pukul pemandu: MP PKR tuntut jawapan dari menteri undang-undang
PARLIMEN | Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) membangkitkan gesaan agar keadilan diberikan kepada pemandu e-hailing, Ong Ing Keong yang dipukul seorang anggota polis pada 28 Mei lalu.
Hassan berkata beberapa bulan telah berlalu sejak kes itu namun pelaku masih belum didakwa di mahkamah.
“Sebagai seorang ahli Parlimen dan peguam, ini satu pelanggaran prinsip keadilan.
“Pemandu ini rakyat kita, Ong Ing Keong,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan juga menegaskan ahli Parlimen telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan keadilan untuk semua warga.
“Tapi kita tak dapat bela pemandu OKU ini? Saya minta menteri yang jaga undang-undang, yang juga seorang peguam, timbalan menteri yang juga peguam, untuk jawab bila (Peguam Negara) nak bawa (kes ini) ke mahkamah,” kata ahli Parlimen PKR itu lagi.
Ong, 48, dipukul di bahagian muka ketika berada dalam keretanya dan menunggu penumpang di perkarangan sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu.
Individu yang didakwa menyerangnya adalah polis pengiring kepada Tunku Ismail. Tunku Ismail menggesapihak berkuasa membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa.
Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) pertama kali membangkitkan kes ini dalam sidang media yang diadakan Lawyers for Liberty pada 31 Mei lalu.
Sejak itu, Dawn konsisten menuntut keadilan diberikan kepada Ong dan cabaran sistemik yang dihadapi golongan OKU pekak, terbaru menerusi petisyen dalam talian yang dilancarkan dua hari lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai