Skip to main
Logo Malaysiakini

Jururawat cadang skrub, kain jersi untuk seragam

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

Kain bermutu rendah yang diberikan kepada jururawat untuk dijadikan seragam menjadi perhatian apabila isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng awal minggu ini.

Dia antara lain menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan nama syarikat yang membekalkan kain tersebut dan apakah tindakan telah diambil terhadap mereka.

Dua jururawat yang dihubungi Malaysiakini mengakui perkara itu, menyifatkan kain tersebut tidak selesa dipakai dan mereka akhirnya membeli kain lain untuk dijadikan seragam.

Seorang jururawat yang hanya ingin dikenali sebagai Myra kain yang diberikan KKM sememangnya tidak selesa untuk digunakan ketika bertugas.

Justeru, wanita berusia 36 tahun yang bertugas di sebuah hospital di Perak itu berkata dia tidak menggunakan kain tersebut sepanjang 11 tahun berkhidmat.

“Kain yang tebal mengakibatkan rasa panas dan berpeluh semasa bekerja, ditambah dengan cuaca negara kita yang panas.

“KKM sepatutnya lebih cakna dengan suara kakitangan jururawat kerana isu ini sudah disuarakan sejak sekian lama. Kami di bawah ini bekerja dengan sangat tertekan dan penat,” katanya kepada Malaysiakini.

Seragam skrub jururawat

Katanya lagi, para jururawat pasti dapat berkhidmat dengan lebih selesa jika pakaian skrub daripada kain kapas dijadikan seragam mereka, memandangkan ia lebih longgar dan meresap peluh.

“Di hospital di Eropah dan Arab Saudi, jururawat memakai baju skrub semasa bertugas dan malah kosnya lebih murah. Kerajaan dapat berjimat dan jururawat pula lebih selesa,” katanya lagi.

Bukan isu baru

Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu, Lim malah berkata ada jururawat yang menyedekahkan kain itu untuk digunakan sebagai kain kafan.

Aduan yang dibangkitkan Lim dipercayai berasal daripada komen yang ditinggalkan pada video TikTok yang disiarkan oleh Ahli Dewan Negara Dr RA Lingeshwaran minggu lalu, tentang mesyuarat yang diadakannya dengan KKM untuk membangkitkan isu tersebut.

Sehari kemudian, Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) menyatakan ia bukanlah isu baru namun kesatuan masih mengumpul lebih banyak maklum balas.

Presidennya Saaidah Athman dipetik Berita Harian sebagai berkata,  setiap kali jururawat menerima seragam baru, jabatan kesihatan negeri akan bertanya jika mereka berpuas hati dengan mutunya.

"Kain seragam ini dibekalkan kontraktor, cuma saya bimbang ketika mereka (kontraktor) hantar sampel, kainnya cantik dan bermutu tetapi apabila agihan dibuat, kain diberi berlainan dengan sampel diberikan,” katanya seperti dipetik.

Seorang lagi jururawat yang enggan dinamakan turut senada dengan Myra, dan berkata kain itu perlu ditukar agar sesuai dengan keadaan wad yang panas dan tiada pendingin hawa.

Jururawat yang juga bertugas di Perak itu turut mencadangkan baju skrub sebagai seragam, dengan kain jenis jersi atau kapas digunakan, berbanding kain sekarang yang menurutnya keras, berat dan cepat lusuh.

“Lebih baik tukar kain jenis jersi atau guna skrub sebab ringan dan serap peluh,” katanya.

Kata wanita berusia 39 tahun itu lagi, dia pernah mengalami kemerahan dan kegatalan pada kulit ekoran kain tersebut, justeru sanggup untuk membeli kain sendiri dan menghantarnya kepada tukang jahit.

Begitu juga dengan Myra yang berkata dia menggunakan kain dari tukang jahit sendiri yang lebih lembut dan tidak tebal untuk dijadikan seragam.