Bersatu tak berpecah walaupun wujud kem dalam pemilihan - Saifuddin
Pengerusi Bersatu Pahang, Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pemilihan parti itu bakal mencetuskan perpecahan dan mewujudkan kem dalam kalangan calon bertanding.
Dia menegaskan siri jelajah solidariti Bersatu yang sedang berlangsung ketika ini, berjalan dalam suasana mesra dan akrab selain merapatkan lagi hubungan antara pucuk pimpinan serta ahli akar umbi.
"Saya sendiri mengikuti hampir semua siri jelajah solidariti Bersatu yang mana kita membawa bersama semua calon yang bertanding untuk pemilihan kali ini, boleh dikatakan semua (calon) hadir tanpa mengira 'team' atau kem mana.
"Jika ada 'team' atau kem sekali pun, ia tidaklah sampai mencipta perpecahan kerana pemilihan parti adalah proses biasa dalam demokrasi... kita bertanding sesama kita seperti 'adik-beradik' saja," jelasnya ketika ditemui Malaysiakini selepas program Jelajah Solidariti Bersatu Pahang di Indera Mahkota, malam tadi.
Saifuddin berkata sejak pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Bersatu tidak mempunyai satu program besar yang boleh mengumpul semua ahli parti, terutamanya ahli akar umbi.
"Jadi, dengan adanya jelajah seperti ini, kita dapat berkumpul bersama dan melihat ke hadapan khususnya dalam membuat persiapan berdepan pilihan raya umum akan datang," tambahnya.
Program itu turut dihadiri calon Timbalan Presiden Bersatu yang menang tanpa bertanding, Hamzah Zainudin; calon Naib Presiden, Ronald Kiandee; Ahmad Faizal Azumu; Mohd Radzi Jidin dan Razali Idris.
Seorang lagi calon Naib Presiden, Mohd Rafiq Mohd Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor tidak hadir pada program berkenaan.
Tak menyalahi peraturan jawatankuasa pemilihan
Sebelum ini, seorang penganalisa politik dilaporkan berkata, pemilihan Bersatu yang sedang berlangsung ketika ini bakal memburukkan lagi perpecahan dalaman parti yang baru berusia lapan tahun itu.
Ini kerana, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sudah mengemukakan 'pelan kompromi' bagi jawatan naib presiden, namun tindakan mengejut Razali dan Mohd Rafiq menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan berkenaan dilihat seperti 'melanggar' cadangan dibuat bekas perdana menteri itu.
Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan soal berkaitan pencalonan bagi jawatan dipertandingkan adalah tidak menyalahi peruntukan ditetapkan jawatankuasa pemilihan selagi individu itu layak untuk bertanding.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, walaupun ada pertandingan, suasana pertandingan itu secara mesra.
"Kita sudah dapat kembali momentum sejak siri jelajah solidariti itu dimulakan dan ramai ahli akar umbi juga mahu program seperti ini lebih banyak diadakan... jadi, kita tengoklah apa yang boleh kita buat untuk mengekalkan momentum ini," katanya yang juga ahli parlimen Indera Mahkota.
Dia juga memberitahu proses pemilihan Bersatu kali ini adalah sebahagian daripada pelan 'kejuruteraan semula' parti dan ia akan berjalan sehingga PRU16.
Katanya, perkara itu sudah dijelaskan Muhyiddin dan buku khas berkaitan pelan berkenaan bertajuk 'Idealisme Perjuangan Bersatu' yang dilancarkan Jul lalu memberi penerangan lengkap mengenai pelan terbabit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai