Pengurus besar Nafas hantar surat peguam isu ‘penggantungan’
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Faris Arriffin mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) susulan dakwaan dia digantung tugas ekoran siasatan salah guna dana.
Faris yang juga Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan berkata LOD itu dikeluarkan pagi ini kepada penyebar dakwaan itu.
Dia bagaimanapun tidak menamakan pihak-pihak itu secara khusus.
“Pasukan guaman saya sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti Nafas dan reputasi profesional saya,” katanya.
Sebelum ini, beberapa portal melaporkan kenyataan “anggota jemaah pengarah” yang diketuai pengerusi Zamri Yaakob menggantung Faris susulan keputusan mesyuarat 22 Oktober.
Nafas menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu dan berkata kandunganya tidak benar.
Faris pula berkata tuduhan terhadapnya dibuat sebelum proses semakan dalaman.
Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Peladang pula berkata penggantungan pengurus besar tidak boleh dikuat kuasa sehingga keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Faris berkata Komunikasi Korporat Nafas telah membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan atas nama “anggota jemaah pengarah” (AJP).
Nafas adalah entiti bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah.
Ia ditubuhkan pada tahun 1972 oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein bawah Akta Persatuan Peladang 1967 sebagai badan induk kepada persatuan peladang di seluruh negara.
Ia anggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri, yang dianggotai oleh 279 pertubuhan peladang kawasan, yang mempunyai keanggotaan lebih 900,000 orang.
Nafas menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian dan mempunyai belasan syarikat.
Nagas juga mempunyai tabung kumpulan wang untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberikan bantuan kepada pertubuhan peladang negeri, wawasan dan anggota-anggotanya di seluruh negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai