Skip to main
Logo Malaysiakini

Teresa Kok fail saman fitnah ke atas Akmal

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok memfailkan saman fitnah ke atas Dr Muhamad Akmal Saleh ekoran  kenyataan ketua Pemuda Umno itu terhadapnya berhubung isu pensijilan halal.

Peguam Kok, Tetuan SN Nair and Partners, menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui peguam Akmal, Tetuan Fahri, Azzat & Co.

Pada 11 September lalu, Malaysiakini melaporkan Kok telah menghantar surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi RM25 juta, selain kos guaman dan kos lain yang berkaitan.

Bagaimanapun, Akmal berkata dia tidak akan tunduk pada tekanan dan akan berdepan dengan Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh di mahkamah.

Dalam samannya, Kok berkata kenyataan Akmal adalah tidak benar dan palsu, serta berniat jahat dan bernada perkauman.

Menerusi tindakan sivil itu, Kok menuntut sejumlah ganti rugi, antaranya ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan.

Selain itu, dia memohon mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghalang Akmal daripada mengulangi kenyataan yang didakwa fitnah itu.

Kok juga memohon faedah lima peratus setahun untuk jumlah yang ditetapkan mahkamah dan relif-relif lain yang dirasakan sesuai.

Dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka pada 14 Oktober lalu, Kok mendakwa Akmal membuat kenyataan itu menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Facebook dan Instagram pada 7 September.

Dia mendakwa kenyataan Akmal, antara lain, merujuknya sebagai “nyonya tua”, membayangkannya sebagai seorang yang rasis, tidak menghormati Islam dan tidak memahami isu pensijilan halal, tidak sensitif dan mengancam keamanan dan keharmonian negara.

Ekoran kenyataan itu, kata Kok lagi, dia mengalami tekanan mental yang teruk dan aib.

[Baca berita asal]