Eksekutif dapat bonus walau GLC tak capai KPI: ‘Saya akan maklumkan pada PM'
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dia akan membawa dakwaan berkenaan bayaran “bonus” yang diterima seorang eksekutif tertinggi sebuah GLC walaupun syarikat itu tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI), akan dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan dakwaan terhadap GLC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu.
“Perkara ini tak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini. Tapi saya akan bawa ke perhatian yang Perdana Menteri,” katanya ringkas dalam sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Hari ini, Malaysiakini menyiarkan laporan berkenan mesyuarat lembaga pengarah Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) awal tahun ini yang meluluskan pembayaran tiga bulan gaji pokok, bersamaan RM210,000, kepada eksekutif berkenaan, walaupun syarikat itu hanya mencapai kurang separuh daripada KPI.
Baca: KPI syarikat tak tercapai tapi eksekutif GLC dapat bonus RM210,000
Ia membabitkan “bayaran khas” sebanyak 2.75 bulan dan dengan tambahan bayaran 0.25 bulan.
Sementara itu, mengulas keluhan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) berhubung kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Fahmi berkata Kabinet turut membincangkan perkara tersebut.
Kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu, keputusan lanjut mengenainya akan dibuat dalam sesi penggulungan belanjawan 2025 di Parlimen nanti.
“Ada dibincangkan beberapa aspek termasuk pandangan daripada pihak SME dan beberapa syarikat yang mengusahakan ladang-ladang.
“Mengenai beberapa keputusan atau pengumuman sewaktu pembentangan belanjawan pada 18 Oktober yang lalu, perdana menteri telah dimaklumkan mengenai pandangan ini dan sudah pasti dia akan mengambil kira (pandangan tersebut),” katanya lagi.
Pada 22 Oktober lalu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyuarakan kebimbangan berhubung dua cadangan itu yang menurutnya berisiko memberi tekanan kewangan yang tidak mampu ditanggung perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama di saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas wabak Covid-19.
Presiden SME Malaysia Chin Chee Seong berkata, walaupun usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan pekerja dihargai, pelaksanaan dasar itu tanpa sokongan tambahan boleh menggugat kelangsungan sektor PKS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai