Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya bimbang rakyat tak maafkan kita jika kita terima maaf Najib'

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Ahli Parlimen DAP RSN Rayer memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas sifat rendah hati dan belas ihsannya dalam menerima permohonan maaf Najib Razak berkaitan skandal 1MDB.

Rayer malah membakitkan persoalan jika Najib akan menunjukkan sikap yang sama selepas menempuhi  begitu banyak kesusahan dan penganiayaan, jika dia berada di tempat Anwar.

Namun, dia menyuarakan rasa bimbang berkenaan kesan daripada perkembangan itu.

"Kami telah bekerja keras untuk menjadi kerajaan. Saya mahu Anwar terus memimpin negara ini sebagai perdana menteri untuk banyak penggal lagi.

"Saya cuma bimbang jika kita menerima permohonan maaf Najib, rakyat tidak akan memaafkan kita," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

‘Dosa-dosa Najib’

Ahli Parlimen Jelutong itu juga menyenaraikan beberapa peristiwa semasa Najib menjadi perdana menteri dan mempersoalkan sama ada penyesalannya boleh mengubah apa yang telah berlaku.

"Adakah permohonan maaf Najib boleh membatalkan penangkapan peguam Matthias Chang dan (bekas pemimpin Umno) Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) apabila kedua-duanya ingin ke luar negara untuk mengumpul bukti mengenai skandal 1MDB?

"Adakah permohonan maaf Najib boleh memadamkan gangguan yang dihadapi oleh (bekas ahli Parlimen DAP) Tony Pua dan ahli Parlimen DAP lain, termasuk banyak laporan polis dan saman sivil yang difailkan terhadap mereka apabila mereka bersuara untuk rakyat Malaysia mengenai skandal 1MDB?

"Adakah permohonan maaf Najib boleh mengembalikan pinjaman berjuta-juta ringgit yang masih perlu dibayar semula oleh kerajaan sekarang?

"Adakah permohonan maaf Najib boleh mengubah penangkapan (bekas pemimpin Bersih) Maria Chin Abdullah, Mandeep Singh dan bekas aktivis Adam Adli Abdul Halim dan mereka yang turun ke jalanan untuk membantah dan menuntut penangkapan Najib ketika itu?"

"Adakah permohonan maaf Najib boleh membatalkan banyak ketidakadilan yang dialami rakyat biasa sehingga kepada peguam negara (Abdul Gani Patail), yang dipecat sebelum Apandi Ali dilantik?

"Adakah permohonan maaf itu boleh memadamkan tekanan mental dan emosi yang dialami oleh ramai di kalangan kita, termasuk (tokoh veteran DAP) Lim Kit Siang yang disaman Apandi berhubung skandal 1MDB?"

‘Saya hormat Umno sebagai sekutu’

Sementara itu, Rayer dengan jelas menyatakan dia tiada sebarang masalah dengan Umno, dan menegaskan dia bahkan berkempen untuk parti itu dalam PRK Mahkota di Johor baru-baru ini.

"Saya hormat mereka kerana mereka adalah rakan gabungan saya dalam kerajaan," katanya, dengan jelas merujuk kepada harapan yang disuarakan Umno agar Najib akan dibebaskan.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Anwar, yang merupakan pengkritik lantang skandal 1MDB, menyatakan dia menerima baik permohonan maaf Najib.

Semalam, Najib menerusi kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas skandal 1MDB yang berlaku semasa pentadbirannya namun kekal menyatakan dia tidak bersalah.

“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahuisegala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa dibawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.